PRK Sungai Kandis: Perang Poster Dan Suhu Masih Biasa

SHAH ALAM, 24 Julai – Suhu kempen dan kemeriahan poster parti serta calon-calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dilihat tidak lagi begitu rancak sepenuhnya dan mungkin akan meningkat sehari dua ini.

Malah suasana keadaan setempat di beberapa kawasan khususnya pusat-pusat daerah mengundi masih belum lagi hangat dengan perang bendera serta poster dalam usaha meraih sokongan pengundi yang akan membuang undi pada 4 Ogos nanti.

Bagi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam jenteranya lebih giat dengan program ziarah di beberapa kawasan sekitar DUN Sungai Kandis termasuklah di Jalan Kebun dan sebagainya lagi. Hari ini beliau menyambung lagi sesi kempennya dengan bersemuka dalam usaha menarik sokongan di sini.

Calon parti lain termasuklah PKR dan Bebas pula tentunya dengan gerak kerja mereka tersendiri dan apa yang penting suasana kempen pada PRK ini dilihat berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni dan tidak ada lagi kedengaran sebarang kekecohan.

Bagi penduduk setempat ada yang teruja dan ada juga yang mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga ke hari pengundian.

Sembang santai bersama peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 43, berkata PRK ini macam biasa sahaja dan hanya menunggu hari pembuangan undi 4 Ogos nanti dan mereka yang datang berkempen boleh melaksanakan kempen berkenaan.

“Pada saya sesiapa yang datang, kita layan dan kita tengok apa yang mereka lontarkan. Baik BN mahu pun PKR… PRK ini tentunya orang ramai akan melihat pertandingan antara kedua-dua parti tersebut manakala penyertaan pari Bebas pula tidaklah boleh dinafikan. Inilah demokrasi.

“BN dengan cara mereka dan PKR dengan cara mereka. Ya, betullah kalau tengok suasana tu macam perlahan sedikit. Mungkin baru beberapa hari maka kempen suhunya tidak lagi rancak. Tengoklah sehari dua ini mungkin senarionya akan berubah atau pun makin rancak pada hari minggu nanti.

“Hari biasa orang bekerja dan mungkin lebih giat pada hari cuti. Apa pun kita tengok dan jika tanya saya nak pilih parti mana sudah ada dalam pemikiran dan keputusan untuk buat pilihan dan tersemat. Tunggulah 4 Ogos nanti macammana,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai.

PRK Sungai Kandis berlangsung dalam tiga penjuru iaitu iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, bersama-sama seorang calon Bebas, 60 tahun, K Murthy.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.