Pemuda Kota Raja Tekad Kempen Bantu BN Dekati Pengundi
SHAH ALAM, 23 Julai – Ketua Pemuda UMNO Kota Raja Sheikh Weshal Datuk Sheikh Ahmad melihat kelainan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan meletakkan Datuk Lokman Noor Adam daripada kalangan ahli Majlis Tertinggi merupakan keputusan bersama untuk rakyat membuat pilihan terbaik pada 4 Ogos nanti.
Serentak itu, beliau memberi jaminan dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Lokman dan menyatakan tekadnya bersama seluruh jentera Pemuda untuk melakukan gerak kerja terbaik dalam usaha membantu parti pada PRK berkenaan.
“Kita konsisten dalam perkara ini. Akan membantu sepenuhnya dan kempen kita adalah dengan memberi tumpuan kepada pengundi muda. Kita sama sekali tidak akan menghasut rakyat sebaliknya mengatakan perkara yang benar. Alhamdulillah sejak semalam semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pun dah mula dibuka. Tinggal lagi pelaksanaan yang akan kita gerakkan nanti.
“Pemuda Kota Raja akan gerakkan kempen secara sihat, dan semangat kami insya-Allah cukup tinggi walaupun kita hari ini sebagai pembangkang. Kalau menang Alhamdulillah dan paling kurang mengecutkan majoriti sedia ada,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut kempen sihat yang akan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan, mereka menyatakan perkara yang dekat dengan hati rakyat dan penduduk setempat. – MediaUMNO