‘Status’ Pembangkang Pasca PRU-14 BN Tetap Bersemangat Di PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM, 21 Julai – Biarpun Barisan Nasional (BN)  turun sebagai parti pembangkang buat pertama kalinya pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di gelanggang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, suasana penamaan calon di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetap meriah dengan kehadiran penyokong serta pendokong parti.

Laungan ‘Hidup BN’ ‘Hidup Rakyat’ ‘ Bangkit…Bangkit’ mendominasi suasana perarakan serta senario di perkarangan pusat penamaan calon bagi PRK Sungai Kandis.

Jarak antara kedua-dua penyokong BN dan penyokong PKR yang berdekatan menyaksikan masing-masing melaungkan kata-kata semangat dalam suasana yang cukup muhibah.

Sungguh pun suasana berkenaan boleh dikatakan agak panas seketika dan perang mulut antara kedua-dua penyokong, namun tindakan yang diambil oleh pihak yang berkaitan khususnya pihak berkuasa berjaya mententeramkan keadaan sehingga tamatnya proses penamaan calon.

Sejurus nama calon BN, Datuk Lokman Noor Adam diumumkan sah bertanding oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), suasana gemuruh dan sorakan yang cukup padu kedengaran dan lontaran semangat penyokong serta pendokong BN terserlah padahari pertama PRK Sunga Kandis.

Setelah berakhirnya proses penamaan calon, Pegawai Pengurus PRK Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad mengumumkan tiga calon sah bertanding pada PRK kawasan terbabit.

Ketiga-ketiga calon terbabit ialah BN, Datuk Lokman Noor Adam, PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K. Murthy. – MediaUMNO