Zahid Beri Keterangan Kali Kedua Di SPRM

PUTRAJAYA, 3 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan kali kedua berhubung siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Semalam, SPRM mengarahkan Ahmad Zahid, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, untuk hadir bagi memberi keterangan.

Beliau yang menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam dan berpakaian batik berwarna biru navy itu tiba pukul 9.54 pagi ini.

Setibanya Ahmad Zahid di hadapan pejabat badan pencegah rasuah itu, beliau terus melambai ke arah pengamal media sambil melemparkan senyuman dan terus memasuki pejabat SPRM tanpa memberi sebarang ulasan.

Difahamkan hanya Anggota Parlimen Bagan Datuk itu akan masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.

Seawal 8.00 pagi, puluhan pengamal media tempatan dan antarabangsa berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan kes melibatkan Ahmad Zahid.

Semalam, Ahmad Zahid juga mengakui bahawa keterangan yang akan diberikan adalah berkenaan kes penyelewengan dana yayasan miliknya.

Ahmad Zahid antara individu disiasat SPRM selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid dihubungi oleh SPRM meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya mengikut Akta SPRM 2009.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.