Pemuda Sifatkan Wakil Rakyat Khianat UMNO ‘Muka Tembok’

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru melahirkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pemimpin UMNO yang bertaraf Ahli Parlimen yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, dalam tempoh beberapa hari ini kita dihidangkan dengan banyak berita mengenai tindakan pemimpin UMNO yang keluar daripada parti dengan pelbagai alasan tersendiri.

“Apa pun alasan diberikan, Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru menyifatkan pemimpin ini sebagai ‘muka tembok’ dan mengkhianati perjuangan parti yang mereka laungkan sebelum ini sehingga meninggalkan parti tatkala UMNO dalam tahap paling bawah ketika ini,” katanya dalam kenyataan media.

Tegasnya, mereka dipilih menerusi sistem Pilihan Raya Umum yang menyaksikan rakyat memberi undi kepada mereka hasil dana peruntukan parti yang mengangkat mereka sebagai calon.

“Tetapi kenapa perlu dikhianati kepercayaan rakyat dan parti yang membantu mereka sehingga menjadi wakil rakyat?” soalnya.

Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dengan tegas mencabar semua pemimpin ‘muka tembok’ ini untuk meletakkan jawatan yang dipilih menerusi sistem demokrasi Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Ini bagi membolehkan rakyat memilih semula calon wakil rakyat dan parti pilihan mereka, bukannya membiarkan diri sebagai pengkhianat menjalankan tugas dan tanggungjawab di kawasan sama,” bidasnya.

Dalam masa yang sama, Pemuda JB sifatkan proses pemilihan UMNO telah berlangsung secara tenang dan penuh amalan demokrasi bagi memilih pucuk pimpinan baharu yang akan menerajui parti sepanjang tahun 2018 hingga 2021.

“Belum terlambat untuk kami Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih tidak kira untuk peringkat Pusat mahupun Bahagian.

Tugas yang berat menanti kepada barisan pucuk pimpinan yang baharu dan kami di peringkat sayap, sentiasa bersama menjadi penggerak kepada proses merawat parti keramat ini,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.