Kemuka Bukti Jika Benar Wujud Politik Wang – Mohamad

SEREMBAN, 2 Julai – “Sekiranya benar wujud amalan politik wang pada pemilihan UMNO bukti perlu dikemukakan,” kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

“Tidak usahlah cakap sahaja, jika ada bukti buat laporan,” katanya selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan pada Persidangan (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan  Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru  ini yang mendakwa beliau mendapat khabar bahawa dalam pemilihan UMNO kali ini banyak wang telah digunakan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lepas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai presiden dengan 99 undi manakala Khairy Jamaluddin memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh memperoleh 30 undi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata pemilihan ADUN BN sebagai ketua pembangkang sidang DUN penggal ini sedang dibincangkan.

Katanya, tugas sebagai pembangkang bukan hanya untuk membangkang sahaja, tetapi turut memain peranan dalam memantau perjalanan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri agar rakyat menerima manfaat dengan setiap dasar yang dilaksanakan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.