Pemilihan UMNO Tidak Akan Bersifat Kem – Johari

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Pemilihan parti UMNO pada akhir bulan ini tidak akan mewujudkan sebarang kem perpecahan antara calon presiden kerana ia bersifat saingan adik beradik dalam usaha memperkasakan semula parti itu.

Calon naib presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata parti itu tidak lagi mampu untuk mewujudkan kem antara calon presiden, Tengku Razaleigh Hamzah dan pemangku presiden merangkap bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Siapa yang menang akan menerajui parti, yang kalah akan sokong parti, itu asas pemilihan ini,” kata Ketua UMNO  Bahagian Tititwangsa itu kepada pemberita selepas Tengku Razaleigh mengadakan sidang media untuk mengumumkan dirinya untuk bertanding  jawatan presiden, di sini hari ini.

Ketika ditanya adakah kehadirannya pada sidang media itu menggambarkan sokongannya terhadap calon presiden berusia 81 tahun itu, Johari  menafikannya sambil berkata kehadiranya itu adalah atas jemputan Tengku Razaleigh.

“Jadi bila orang jemput saya, saya datanglah. Ini kawasan saya. Kampung saya di sini,” kata Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.