P. Pinang Kemuka Dua Calon MT

KEPALA BATAS, 16 Jun – UMNO Pulau Pinang akan kemukakan dua pencalonan untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu sempena pemilihan UMNO hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau akan mempertahankan jawatan itu dan selain beliau, turut dicalonkan ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Ir. Shaikh Hussein Mydin.

“Kita (UMNO Pulau Pinang) hanya tampil dua calon daripada golongan muda iaitu masing-masing berusia bawah 50 tahun untuk jawatan MT,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihadiri oleh lebih 5,000 pengunjung di Wisma UMNO, di sini hari ini.

Beliau berkata pencalonan ini adalah bagi penuhi syarat parti yang mahukan orang muda untuk jawatan MT bagi penggal 2018-2021.

Dalam pada itu, Reezal Merican, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata, pemilihan pengerusi baharu bagi menggantikan penyandang ketika ini, Datuk Seri Zainal Abidin Osman hanya akan dibuat selepas pemilihan UMNO berlangsung.

“Ketika ini, Zainal masih lagi Pengerusi (UMNO Pulau Pinang) dan menjalankan tugas-tugas sebagai pengerusi,” katanya.

Katanya, jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan ditentukan selepas Pemilihan UMNO dan dibuat secara lantikan dan bukan pemilihan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.