Teruskan Perjuangan Walaupun Berdepan Ujian Berat – Najib

PEKAN, 13 Jun – Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut semua anggota parti itu meneruskan perjuangan walaupun sedang berhadapan dengan ujian berat ketika ini.

Najib berkata semua anggota UMNO tidak boleh membiarkan parti yang diasaskan sejak 72 tahun lepas berakhir atau tidak lagi mendapat tempat mahupun dianggap sudah tidak relevan.

Beliau berkata sudah tentu dalam perjuangan tidak semuanya akan melalui ‘jalan manis’, sebaliknya sesekali akan berdepan laluan berliku atau jalan buntu dan hanya yang cekal, berlapang dada serta istiqamah akan memperoleh kejayaan.

“Lihat apa sedang berlaku ini adalah perjuangan amat menguji kita. Allah letakkan ujian sangat besar (untuk melihat) jika kita mempunyai kesungguhan dan menghidupkan kembali perjuangan asal UMNO.

“Ketika UMNO ditubuhkan untuk menentang Malayan Union, kita tidak mempunyai kekuatan termasuk kekuatan ekonomi. Tapi kita ada kekuatan semangat dan perpaduan…dengan itu sahaja, kita menumbangkan Malayan Union,” katanya.

Najib yang merupakan Anggota Parlimen Pekan berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Golongan Asnaf di Masjid Kampung Tanjung Agas di sini, hari ini.

Mengambil semangat perjuangan anggota UMNO terdahulu, Najib mengingatkan anggota parti untuk “terus berjuang selagi ada nafas bertiup dan selagi ada roh dalam jasad sehingga muncul kebenaran dengan izin Allah”.

Najib berkata sumbangan dan jasa UMNO dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan termasuklah di Kampung Tanjung Agas yang menikmati kemudahan infrastruktur termasuk masjid berhawa dingin.

Beliau berkata sebagai bekas Perdana Menteri, beliau hanya membuat janji yang boleh ditunaikannya kerana bimbang janji dibuat atas dasar mahu memenangi pilihan raya akan disoal di akhirat kelak.

“Percayalah apa saya janjikan tempoh hari sebagai Perdana Menteri dibuat setelah saya pertimbangkan sedalam-dalamnya. Saya tidak berjanji kalau itu tidak boleh saya tunaikan kerana takut kalau menang di dunia sekalipun, akan disoal kelak (di akhirat),” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.