Tiga Lagi Wanita UMNO Sabah Tawar Tanding Jawatan Sayap Wanita Pusat

KOTA KINABALU, 8 Jun – Tiga lagi pemimpin Pergerakan Wanita UMNO dari negeri Sabah menawarkan diri bertanding jawatan dalam pergerakan itu di peringkat pusat, menjadikan bilangan calon dari negeri Sabah setakat ini yang menawarkan diri menjadi empat.

Ketua Wanita UMNO Silam Mizma Appehdullah dan Naib Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid masing-masing menawarkan diri bertanding Exco Pergerakan Wanita UMNO manakala Ketua Wanita UMNO Kota Kinabalu, Datuk Rosimah Zakaria bagi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Malaysia.

Jainab yang juga Ketua Wanita UMNO Sepanggar berkata sebelum ini, Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Azizah Mohd Dun, juga dari Sabah, menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia selepas penyandangnya Datuk Seri Shahrizad Abdul Jalil tidak mempertahankan jawatan itu.

“Kita percaya Datuk Azizah dan ketua-ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh Sabah akan bangkit bersama-sama. Saya percaya parti ini boleh bangkit semula dengan menyemaikan kembali semangat demi Agama, Bangsa dan Tanah Air.

“Saya juga menyeru semua ahli Wanita UMNO Sabah, terutama di peringkat akar umbi, untuk mengekalkan semangat perjuangan dan setiakawan dalam parti keramat UMNO ini,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita UMNO Sabah dan majlis berbuka puasa di sini malam tadi.

Pada 22 Mei lalu, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemilihan parti peringkat cawangan diadakan 19 Mei hingga 10 Jun, diikuti pemilihan ketua sayap (23 Jun) dan pemilihan Majlis Tertinggi UMNO (30 Jun).

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.