Pasca PRU-14 Buka Lembaran Baru Terhadap UMNO – Shahril

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berkata pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka lembaran baru kepada semua ahli UMNO untuk bermuhasabah diri selain menyemak semula kaedah perjuangan yang telah dibawa selama ini.

“Untuk bangkit semula dari kekalahan dan krisis ini, UMNO memerlukan proses pembaharuan menyeluruh dari segi struktur, idea, gaya penampilan dan mesej supaya mampu menarik balik sokongan rakyat kepada parti ini di dalam PRU yang akan datang.

“Selain proses pembaharuan dalaman, pendekatan dan strategi politik, UMNO juga perlu lebih relevan dengan keperluan semasa yang membabitkan kesediaan menjadi pesaing berkualiti kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – berdepan dengan pemimpin dan personaliti parti lawan berlandaskan kredibiliti hujah dan komunikasi berfakta sekaligus memulakan proses meyakinkan rakyat Malaysia bahawa UMNO adalah pembangkang yang efektif seterusnya pilihan kerajaan alternatif pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujarnya, atas semangat perjuangan berlandaskan kejujuran, keikhlasan dan keinginan menyumbang kepada proses pembaharuan tersebut, beliau dengan rasa penuh rendah diri menawarkan khidmat sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam pemilihan parti yang akan datang.

“Saya memohon dan merayu kepercayaan dan sokongan sahabat-sahabat seperjuangan untuk sama-sama kita menjayakan proses pemulihan dan pembaharuan parti keramat ini demi agama, bangsa dan negara. Bersama, kita bina masa depan yang lebih cerah,” katanya. – MediaUMNO