Khaled Tawar Diri Bertanding Naib Presiden UMNO, Tekad Kembalikan Kepercayaan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Jelas beliau, walaupun tidak mempunyai ‘sifir ajaib’ bagaimana segala masalah UMNO dapat dibetulkan dengan mudah dan segera tetapi beliau berjanji akan terus berpaksi kepada pegangan dan keyakinan untuk membantu parti keramat ini kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Bertitik tolak dari kesedaran inilah, saya dengan rendah hati menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, sekiranya parti melihat saya layak untuk bersama-sama menjulang dan mengibar panji parti.

“Perkhidmatan akan terus menjadi paksi dan pegangan saya, saya juga yakin setiap seorang daripada saudara adalah inspirasi terbaik. Yang memberi daya dan kudrat untuk saya terus berikhtiar memberikan yang terbaik kepada parti ini.

Kita akan boleh mencapai impian besar ini jika kita bekerja keras bersama, nekad, dan memastikan pemimpin yang telus dan berwibawa diangkat untuk memimpin kita sepanjang kembara yang penuh bermakna ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Kata Khaled, pejuang parti terdahulu mengimpikan UMNO yang bersatu, kuat dan berjaya, parti yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi segala yang lain, parti yang tegar dan tegas memelihara agama, bangsa dan tanahair serta parti yang melahirkan para pemimpin yang menjadi tulang belakang Malaysia yang majmuk.

Justeru katanya, inilah yang selayaknya didukung oleh pemimpin UMNO sekarang ini sekaligus mempertahankan apa yang telah diwarisi selama ini.

“Kita mempunyai sejarah yang hebat, yang wajar membenihkan inspirasi. Kita juga telah lalui jalan berliku. Kita pernah diasak sehingga kita mahu dipadamkan dari peta sejarah. Namun, kita kekal. Teguh dan berdiri.

“Tanggal 9 Mei adalah peringatan besar bahawa UMNO harus memugar kembali sebuah Malaysia baharu, yang terdiri dari masyarakat dengan sebuah impian bersama. UMNO harus mempamerkan keyakinan, kekuatan dan keupayaan untuk mendepani cabaran Malaysia di persada domestik, serantau dan antarabangsa.

“Kita wajib memastikan berlakunya pengislahan dalam segala aspek, keupayaan dan tadbir urus. Sebarang kemajuan yang berlaku kepada parti adalah kemajuan kepada kita semua. Tanpa kompromi, tanpa ada yang terkecuali.

“Maka saya yakin dan percaya, sesungguhnya UMNO sarat dengan bakat-bakat segar untuk memacu segala kemajuan baharu ini dalam membina semula kekuatan UMNO,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.