Ahli Wanita Harus Berani Membawa Pembaharuan Dan Perubahan Bagi Bina Kembali UMNO


KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru agar seluruh jentera pergerakan tersebut berani membawa pembaharuan dan perubahan untuk disusun dengan baik bagi menjalin semula kebangkitan parti keramat ini ekoran dari kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Jelas beliau, bersempena dengan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO bahagian-bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara bagi tahun 2018, semua ahli Wanita harus terus bangkit bagi memastikan parti yang disayangi ini tidak terus berada di takuk lama.

“Menginsafi keputusan PRU-14, saya mahu mengajak semua ahli Wanita selaku tulang belakang parti, untuk redha dengan kekalahan yang kita terima tetapi kita juga harus mengambil ruang di bulan Ramadhan yang mulia ini untuk bermuhasabah serta mengambil iktibar dari kesilapan ini.

“Kita perlu berani membawa pembaharuan dan perubahan agar kita dapat bersama-sama mennyumbang kepada kebangkitan parti,” ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah Shahrizat, selalu Ketua pergerakan tersebut, beliau berasa bangga dan bersyukar di atas semangat setiap ahli Wanita yang terus menjalankan tanggungjawab parti dalam persidangan tahunan selain mengucapkan tahniah kepada mereka yang mengekalkan jawatan mahupun kepada kepimpinan yang baru dilantik untuk meneruskan matlamat parti.

“Ketenangan, kesabaran dan kebijaksanaan harus jadikan kunci utama dalam kita membina kembali kekuatan dan kelangsungan UMNO di akar umbi. Perjuangan kita demi agama, bangsa dan negara harus diteruskan dengan menentukan silaturrahim antara kita kekal erat dan kita teruskan perkhidmatan kepada rakyat dengan kemampuan yang ada pada kita bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasronal (BN) kekal relevan dalam persada politik negara.

“72 tahun kita bina semangat bangsa hingga tertubuhnya negara yang harmoni. Kini mari kita kumpul semangat juang parti melalui Mesyuarat Perwakilan pada kali ini dengan membawa iltizam dan kesepaduan sesama kita.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pimpinan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian yang bakal memimpin ahli di akar umbi bagi penggal 2018 2021 ini,”ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.