Kemukakan Calon Baharu Selesaikan Kemelut MB Perlis

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis boleh diselesaikan dengan Barisan Nasional (BN) Negeri dan Datuk Seri Azlan Man mengemukakan calon baharu yang disokong oleh kedua-dua pihak, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkara perkara itu harus diselesaikan dengan segera kerana ia memberi gambaran buruk kepada BN dan UMNO.

“Formula baharu yang boleh diketengahkan ialah mengemukakan calon yang tidak dicadangkan asalnya oleh BN Perlis dan mungkin Datuk Seri Azlan Man (MB Perlis) pun boleh runding dan cadang siapa yang layak untuk diterima kedua-dua pihak.

“Sebab itu perlu bawa semua ke meja rundingan dan cari satu nama yang boleh diterima oleh BN dan Istana Perlis. Perkara ini boleh diatasi tapi perlu ada iltizam politik,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar yang tidak mendapat sokongan daripada anggota BN Perlis menyebabkan kemelut itu berlarutan hampir sebulan.

Ditemui pada majlis berbuka puasa Pemuda UMNO, di sini hari ini, Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, berkata BN Perlis perlu mengimbangi bagaimana hendak mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan hak BN mencadangkan siapa bakal menteri besar.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.