PRK Sungai Kandis: Pusingan Akhir Kempen BN Terus Dapat Sambutan
SHAH ALAM, 3 Ogos – Lagenda artis tanah air, Herman Tino meriahkan hari terakhir kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan mengajak pengundi untuk melakukan perubahan di Sungai Kandis pada hari mengundi esok.
Kempen berkenaan yang diadakan di Kg Bukit Naga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pimpinan BN lain seperti Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang serta Ketua UMNO Lembah Pantai Datuk Ramlan Askolani.
Penduduk kawasan sekitar tidak melepaskan peluang untuk turut serta pada malam akhir kempen berkenaan khususnya bagi mendengar dengan lebih dekat lontaran isu-isu semasa yang dibawa pimpinan BN.
Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dalam ucapan ringkasnya berkata kekalahan UMNO dan BN pada pilihan raya umum yang lalu mempunyai hikmah yang tersendiri.
“Hakikat yang sebenarnya…bukan apa yang kita telah buat, bukan apa yang kita bantu dan macam-macam yang kita buat rakyat tetap menolak…kenapa ini berlaku…mungkin ini ujian Allah swt terhadap sikap kita apabila diuji sedemikian rupa.
“Signal kerjasama antara UMNO dan Pas selepas kekalahan satu hikmah. Keikhlasan mereka…kejujuran mereka…sampai masa dan ketika ini saya percaya perjuangan mereka sama dengan kita,” katanya.
Jelas Zaidi, perjuangan hari ini berbeza sama sekali dan UMNO serta BN tetap diperlukan walaupun dalam keadaan susah, parti perlu bangkit.
“Kita mulakan di sini di Parlimen Kota Raja…kita beri isyarat jelas kepada mereka bahawa jangan sama sekali memandang remeh jiwa dan hati kita. Upah dan ganjaran adalah kemenangan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam,” katanya.
Beliau seterusnya mengharapkan agar seluruh jentera parti terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi pada hari pembuangan undi esok.
“Saya menyeru kepada seluruh jentera…inilah masa dan saatnya. Kalau kita menang merupakan bonus kepada kita dan isyarat jelas kepada mereka, kalau kita ditakdirkan kalah dan kalah dengan bermaruah dengan majoriti yang berkurang ini adalah isyarat jelas kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Budiman Mohd Zodi mengingatkan pengundi Sungai Kandis agar membuat pertimbangan sebaiknya.
“Cukup cukuplah…jangan terus tipu rakyat…100 hari macam-macam janji…mana yang cakap nak batalkan itu dan ini…buat itu dan buat ini seoertimana yang dijanjikan.
“Kedatangan saya untuk ‘moral support’ kpd PDM ini…kita kena hantar calon BN, Datuk Lokman Noor Adam ke DUN Selangor agar kerajaan hari ini tidak terus bohong dan tidak terus tipu rakyat,” katanya lagi. – MediaUMNO