Menukar Pemimpin Ketika Krisis
KEPUTUSAN UMNO menarik sokongan ke atas Perdana Menteri tempoh hari menerima reaksi yang pelbagai dan bercampur aduk. Ada yang bersetuju. Tidak kurang yang mengecam.
Namun, tidak ada pihak yang menafikan bahawa 7 kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) / Perdana Menteri yang disenaraikan UMNO sebagai asas untuk menarik diri tersebut adalah hakikat yang jelas.
Kegagalan-kegagalan tersebut bukan sahaja fakta yang kritikal, malah sesuatu yang sebenarnya dapat dielakkan sekiranya Perdana Menteri / PN bertindak pantas serta bersedia mempertimbangkan beberapa saranan UMNO.
Memandangkan kita sudah berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan ini, persoalan yang lebih besar adalah, adakah desakan untuk menukar pemimpin negara dalam tempoh krisis sedang meruncing adalah sesuatu yang munasabah atau bersifat pentingkan diri?
Lee Iacocca dalam Where Have All The Leaders Gone? menyenaraikan yang salah satu ukuran pemimpin yang baik adalah keupayaan untuk menguruskan krisis. Kegagalan untuk meredakan krisis dan mewujudkan keyakinan dalam kalangan masyarakat adalah bukti kelemahan seseorang pemimpin.
Jadi, tidak pelik jika terdapat banyak situasi di seluruh dunia yang menunjukkan bahawa menukar pemimpin ketika krisis bukan sahaja wajar. Malah perlu. Terutamanya setelah seseorang pemimpin itu sudah lemas dan gagal untuk terus mengemudi keadaan dengan lancar dan meyakinkan.
Januari lalu, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte terpaksa meletak jawatan setelah parti Italia Viva yang diketuai oleh Matteo Renzi keluar dari pakatan kerajaannya akibat kegagalan beliau menguruskan pandemik Covid-19. Selain menyaksikan kegawatan ekonomi terburuk selepas Perang Dunia Ke-2, Itali pada ketika itu merekodkan 86 ribu kematian dan merupakan negara dengan jumlah kes ke-2 tertinggi di Eropah dan ke-6 tertinggi di dunia.
Pada Ogos tahun lalu pula, Menteri Kesihatan Poland dan Menteri Luar negara tersebut meletak jawatan setelah dikecam teruk atas kegagalan menguruskan pandemik ini.
Keadaan yang sama dilihat di Slovakia pada Mac 2021 apabila Presiden Zuzana Caputova telah menggantikan Perdana Menterinya, Igor Matovic dan menaikkan Menteri Kewangan, Edward Heger sebagai pengganti apabila negara tersebut merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 antara tertinggi di dunia.
Kesemua ini adalah antara contoh pertukaran pemimpin, sama ada secara sukarela mahupun dipecat atau akibat hilang sokongan, semasa tempoh pandemik.
Ada yang berhujah bahawa, adalah penting untuk kita semua memfokuskan kepada ikhtiar memerangi Covid-19 dan mengetepikan sebarang tindakan berunsur politik.
Pandangan sedemikian ada benarnya, namun tidak tepat. Ini kerana, optimisme tersebut berlandaskan andaian bahawa mereka yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan pandemik adalah kumpulan yang paling berkelayakan dan mampu membawa pemulihan yang diharap-harapkan.
Malangnya, dalam konteks penarikan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri ini, sebaliknya yang berlaku.
Perdana Menteri jelas gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik. Bukan sahaja keadaan ekonomi tidak pulih. Sebaliknya darurat kesihatan negara terus meruncing dengan kritikal dan menakutkan. Petugas barisan hadapan sudah sangat kelesuan. Sistem kesihatan negara mencecah kapasiti maksimum dan berisiko lumpuh. Rakyat terhimpit dan tertekan.
Paling penting, semua itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan dan Darurat yang menyaksikan penggantungan institusi demokrasi seperti Parlimen.
Jadi, apa sebenarnya yang diharapkan UMNO dengan penarikan sokongan ini?
Terdapat beberapa perkara yang diharapkan berlaku daripada semua ini. Antaranya:
Pertama, Perdana Menteri / PN akan melihat dengan jelas dan terbuka bahawa strategi dan gerak kerja mereka sebelum ini telah gagal sama sekali. Jadi, adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama. Ini mesej besar yang mesti dihadam dengan berlapang dada.
Kedua, penarikan sokongan ini dapat menghentikan sebarang desas desus, teka-teki atau apa-apa khabar angin berkaitan sokongan/majoriti yang dipunyai Perdana Menteri. Penarikan sokongan ini akan membuka ruang yang telus untuk dilakukan penilaian semula kepercayaan dan keyakinan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.
Ketiga, penarikan sokongan ini dapat menunjukkan dengan lebih tegas bahawa UMNO sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat. UMNO mahu isu rakyat dan kemaslahatan negara menjadi perkara pokok yang tiada kompromi. Bukannya sesuatu yang dipandang enteng dengan strategi yang bersifat separa masak dan berulang-ulang sekalipun terbukti gagal.
Malah, sebarang tawaran jawatan kepada sesetengah pemimpinnya tidak akan mengubah pendirian UMNO yang mahukan perkara terbaik untuk masyarakat dan negara.
Keempat, kita mengharapkan wujud keyakinan atau harapan baharu di pihak rakyat. Pemimpin yang baharu sudah tentunya akan membawa bersamanya satu harapan dan jangkaan yang segar.
Maka, strategi, pendekatan berbeza dan pelan yang lebih radikal adalah sangat diharapkan.
Yang pasti, biar apa pun pandangan dan persepsi yang timbul dari penarikan sokongan ini, penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab.
Semoga selepas ini, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.
Menguruskan pandemik kesihatan dan kegawatan ekonomi yang mempunyai kesan domino di peringkat global bukan satu amanah kecil. Hanya mereka yang berjiwa besar harus digalaskan dengan tanggungjawab ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO