UMNO Perak Hormati Keputusan MKT, Ambil Kira Suasana Sukar Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mahu semua pihak menghormati keputusan Majlis KerjaTertinggi (MKT) pada 7 Julai 2021 yang dibuat selepas mengambilkira pelbagai faktor khususnya mendepani suasana sukar yang sedang dihadapi segenap lapisan rakyat ketika ini, kata Pengerusinya Datuk Saarani Mohamad.

Katanya, mengharungi realiti politik yang kian mencabar, ancaman terhadap amalan demokrasi berparlimen serta tuntutan mendesak supaya hambatan ganas pandemik COVID-19 segera diurus dengan sewajarnya, UMNO perlu menunjukkan keazaman politik dalam membuat keputusan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang masih-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan.

“Berbekalkan pengalaman luas, kedua-dua pemimpin UMNO ini diharap dapat memanfaatkan sebaiknya jawatan yang disandang untuk membantu parti membawa negara keluar dari kemelut COVID-19 serta membantu rakyat yang terkesan membina semula kehidupan.

“Dalam hal ini, saya dan kepimpinan kerajaan negeri akan terus menggembleng segala kekuatan untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat yang terjejas serta memastikan program vaksinasi dapat dijayakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.