Apapun Keputusan Mengundi Esok, Jentera BN Akan Bantu Pas Di PRK Seri Setia – Calon BN


KLANG, 3 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam berkata, walau apapun keputusan di hari mengundi esok, UMNO dan NGO akan tetap membantu calon Pas di PRK Seri Setia.

Jelas beliau, pendirian tidak rasmi UMNO untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di PRK Seri Setia juga adalah satu keputusan yang amat baik bagi memastikan ikatan ukhuwah Islamiah dan kerjasama yang terjalin antara dua parti ini terus berpanjangan demi penyatuan agama Islam dan orang Melayu.

“Secara peribadi saya menyokong sepenuhnya keputusan tidak rasmi UMNO ini. Oleh itu, walau apapun keputusan pada esok hari, UMNO dan NGO yang menyokong UMNO akan terus bekerja keras bagi membantu jentera Pas di PRK Seri Setia,” ujar beliau kepada wartawan dalam satu sidang media di pejabat UMNO bahagian Kota Raja hari ini.

Ketika ditanya harapan untuk memenangi PRK Sungai Kandis jelas Lokman, tiada siapapun yang boleh mendabik dada mengaku boleh menang kerana dalam keadaan sekarang ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Ya… pada PRU lalu mereka Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti yang besar tetapi janji 100 hari PH sehingga kini masih tidak tertunai. Saya nampak ada peralihan yang drastik bakal berlaku tetapi sejauh mana peralihan mood rakyat ini akan membawa kemenangan, itu saya tidak pasti.

“Saya cuma berharap semua pengundi Melayu dan India akan keluar beramai-ramai… begitu juga dengan pengundi MCA. Sekiranya kehadiran peratus keluar mengundi tinggi maka kita ada harapan menang dan sekiranya peratus keluar rendah dan ini berpunca daripada sikap penyokong PH yang kecewa dan tidak keluar mengundi, kita juga ada harapan menang,” jelas beliau lagi.

PRK Seri Setia bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin akibat menghidapi kanser kolon. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.