Bekas Orang Kuat PPBM Naik Pentas Ceramah BN di Sungai Kandis

SHAH ALAM, 1 Ogos – Bekas orang kuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman muncul di pentas ceramah Barisan Nasional (BN) malam tadi pada Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang masuk hari ke-11 hari ini.

Beliau yang sebelum ini antara sebahagian penggerak kepada penubuhan PPBM dan merupakan bekas Naib Presiden parti tersebut berkongsi pentas dengan beberapa penceramah BN yang lain termasuk Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam ucapannya Hamidah secara lantang mengkritik kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) yang penuh dengan janji serta sandiwara semata-mata.
Malah katanya ayat yang popular sebelum PRU lalu ‘rindu zaman Tun’ telah bertukar sebaliknya hari ini.

“Rindu zaman Tun…kalau dulu dikatakan troli RM50 penuh dengan barang-barang…zaman Datuk Seri Najib tinggal sedikit…kita nak balik ke zaman Tun…namun hari ini apa sudah jadi. Nak tanya hampir 100 hari (pentadbiran) bagaimana dengan janji yang dilontarkan… apakah keadaanya?

“Apakah barang turun…sekarang ni cukai tidak ada dan cukai baru pada bulan depan apakah harga barang-barang hari ini turun? Mana perginya yang canang kata harga barang turun?” soalnya.

Beliau seterusnya mengajak orang muda untuk membuat penilaian terbaik terhadap segala janji kerajaan PH sebelum PRU lalu.

“Janji untuk orang muda dengan PTPTN apa jadi…sehingga bergaduh dengan saudara mara dan sebagainya kerana mahukan janji tersebut dalam PRU lalu. Apa jadi sekarang…hari ini dapat apa…tol percuma apa perkembangannya?

“Itulah hakikatnya. Justeru pada PRK ini, pada Sabtu nanti undilah calon BN, Datuk Lokman Noor Adam untuk bawa suara rakyat kepada kerajaan hari ini,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit