Kadar Kebolehpasaran Graduan Rekod 84.4 Peratus Bagi Tahun 2020

BANGI, 13 Mac – Kajian Pengesanan Graduan bagi tahun 2020 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahun lepas adalah 84.4 peratus, menurun sedikit berbanding 86.2 peratus pada 2019, kata Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Data itu bagaimanapun melepasi unjuran awal KPT iaitu sebanyak 75 peratus berikutan situasi negara ketika itu yang dilanda pandemik COVID-19, katanya.

“Dalam keadaan negara yang berdepan dengan kesukaran kesan pandemik COVID-19 khususnya dari aspek ekonomi yang menguncupkan peluang pekerjaan, penurunan 1.8 peratus boleh dikatakan tidak begitu ketara,” katanya, serta menambah intervensi yang dilaksanakan KPT dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan boleh dikatakan berkesan.

Noraini berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat penempatan perantisan Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0, KPT-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus.

Antara inisiatif peningkatan kerjaya yang dilaksanakan KPT ialah program pembangunan keusahawanan seperti kolaborasi dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd yang menyediakan platform melatih graduan dalam bidang keusahawanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam program KPT-MEDAC Siswapreneur, katanya.

“KPT juga melaksanakan program padanan pekerjaan seperti melalui kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan program kebolehpasaran graduan secara kolaborasi bersama rakan-rakan strategik kementerian,” katanya.

“Kementerian sentiasa komited dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan graduan mendapat penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan. Strategi dan insiatif yang telah dirangka akan dipastikan pelaksanaannya dari semasa ke semasa melalui pemantauan berterusan,” katanya.

Noraini berkata Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0 KPT-MTDC yang dilaksanakan pada 2018 telah memberikan hasil yang positif apabila kira-kira 80 peratus atau 243 peserta daripada 303 graduan yang ditawarkan tempat secara perantisan, telah menerima tawaran pekerjaan secara tetap.

Pada program kali ini, katanya seramai 200 graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) ditawarkan tempat perantisan di 177 syarikat tempatan untuk tempoh tiga bulan dan mereka perlu melalui empat fasa latihan iaitu Career Enhancement Workshops; Industry Speed Interview; Industry Attachment; dan Job Placement.

“Graduan yang menyertai program ini akan diberikan padanan pekerjaan yang bersesuaian dengan permintaan industri dalam bentuk perantisan sebaik sahaja menamatkan latihan, seterusnya ditawarkan pekerjaan tetap jika menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata dijangkakan lebih 80 peratus peserta Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0 KPT-MTDC 2020-2021 akan diserap untuk bekerja di syarikat tempat mereka menjalani perantisan.

Beliau berkata program penempatan graduan itu bukan sahaja menyediakan tempat perantisan bagi graduan malah turut membantu syarikat kecil terutamanya di bawah ekosistem teknologi untuk mendapatkan calon pekerja yang berkaliber.

“Dalam keadaan sekarang, syarikat-syarikat kecil ini mungkin tidak mampu nak buat tempoh percubaan selama enam bulan, jadi dengan adanya program ini, kita berharap ia dapat membantu syarikat teknologi yang masih di fasa membangun, untuk mendapatkan warga kerja yang berkualiti,” katanya.

Norhalim berkata MTDC sedang berbincang dengan KPT untuk meneruskan program penempatan graduan berkenaan.

Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0 KPT-MTDC 2020-2021 memberikan pendedahan kepada peserta tentang persekitaran pekerjaan di syarikat yang berteraskan Industri 4.0 melalui modul latihan secara hibrid merangkumi soft skills dan hard skills.

Latihan yang diberikan tidak hanya terhad kepada ‘amalan industri terbaik’ dan standard Industri 4.0, tetapi turut menekankan aspek ketrampilan diri bagi meningkatkan keyakinan graduan untuk memasuki alam pekerjaan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit