Hormati Persefahaman, Jangan Cuba Khianati Persetujuan Yang Dimeterai Bersama – UMNO Perak

IPOH, 19 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan negeri tersebut terpelihara daripada ancaman ‘politik yang tidak sihat’.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri itu, tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri akan terancam.

“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) sudah tidak dihormati. Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.

“Saya juga ingin menegaskan, UMNO dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara. Hakikatnya, kami mempunyai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada PPBM.

“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas ADUN Kota Tampan itu lagi, pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik COVID-19 ini dan beliau menggesa hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang.

Tambah Saarani lagi, UMNO Perak amat prihatin dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara di mana gelombang ketiga pandemik ini menunjukan peningkatan kes jangkitan termasuk di Perak.

“Pandemik ini bukan sahaja mengancam nyawa bahkan menghambat ekonomi serta menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, dalam keadaan kegelisahan rakyat menghadapi suasana mencemaskan ini, UMNO Perak mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan politik bagi membolehkan kerajaan negeri yang dibentuk atas semangat muafakat dan kerjasama ini dapat fokus sepenuhnya dalam mendepani impak COVID-19,” katanya.

Namun tambahnya, suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan pihak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membelakangi semangat tersebut.

“Tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan-tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani.

“Saya mendengar penjelasan Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan dengan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.

“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila Menteri Besar melantik seorang dari ahli Yang Berhormat dari UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani menjelaskan bahawa ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak – PPBM, UMNO dan PAS – telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain.

Tegasnya juga, sewajarnya pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.