Kerajaan Akan Rangka Langkah Komprehensif Untuk Belanjawan 2021 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Kerajaan akan merangka langkah-langkah komprehensif dan menyeluruh di bawah Belanjawan 2021 melalui hasil dapatan Kaji Selidik PRIHATIN yang dijalankan antara 19 Ogos dan 22 Sept 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata antara dapatan yang akan diberi pertimbangan merangkumi beberapa perkara termasuk meningkatkan sokongan bagi perkhidmatan kesihatan mental serta menambahkan peluang pekerjaan.

Perkara lain yang turut dipertimbangkan adalah mempermudahkan akses bantuan untuk golongan mudah terjejas seperti warga emas, memperkasakan peranan syarikat berkaitan kerajaan dalam menyokong komuniti serta meningkatkan peranan Perusahaan Sosial.

“Kerajaan sedar masih ada ruang untuk penambahbaikan, dan akan sentiasa memberi yang terbaik buat rakyat, perniagaan dan ekonomi,” katanya ketika membentangkan Laporan Laksana ke-25 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.