Insiden Parapet Hempap Kereta: Tindakan Undang-Undang Akan Diambil – Fadillah

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan yang terjatuh dari struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada 19 Sept lepas.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan berkenaan akan diambil selepas laporan penuh kejadian itu diterima pihaknya.

“Selepas terima laporan siasatan penuh itu nanti, kita akan menentukan bentuk tindakan yang sesuai supaya menjadi satu pengajaran.

“Saya harap CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia) akan dapat menyiapkan laporan itu secepat mungkin,” katanya pada satu sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya 2021 -2025, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi daripada kerja-kerja pembinaan SUKE terjatuh menghempap kereta yang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), mengakibatkan kereta berkenaan remuk dan wanita terbabit cedera pada tangan kirinya.

DOSH menyiasat tiga aspek membabitkan keselamatan, aktiviti pembinaan dan kualiti struktur binaan susulan insiden itu.

Siasatan itu dilakukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994 (Akta 520). Selain itu, kerja-kerja pembinaan dihentikan serta-merta oleh pemaju projek, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) susulan kejadian itu. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.