PRN Sabah Peluang Rakyat ‘Ubah Balik’ Selari Dengan Kerajaan Persekutuan – Puteri Tawau

TAWAU, 20 Sept – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung Sabtu hadapan (26 Sept) adalah peluang untuk rakyat ‘Ubah Balik’ kerajaan negeri agar selari dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Tawau, Julisah Mohamad Isah.

Katanya, Parti Warisan sudah diberikan peluang dan ternyata mereka gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kita perlu selari dengan kerajaan Persekutuan kerana kita telah nampak kegagalan kerajaan Warisan, rakyat juga sudah tahu bagaimana peritnya di bawah PH,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa BN telah mendapat maklum balas yang positif dari pengundi muda dan ada yang sebelum ini beralih sokongan telah kembali kepada BN.

“Sambutan setiap kempen yang dijalankan juga sangat-sangat positif dan kami harap pengundi muda selepas ini akan lebih ramai lagi yang menyokong BN demi pembangunan yang lebih teratur dan lebih baik untuk kawasan kami.”

Berhubung dengan calon BN yang diketengahkan kali ini di DUN Balung iaitu Hamild @ Hamid Awang, katanya calon tersebut adalah seorang yang sentiasa berkhidmat dan kuat bekerja.

“Calon seorang yang sangat bekerja keras dan seorang yang sangat mengambil berat dengan setiap pengundi dan kami jentera pun dia akan ambil kisah pada setiap individu.

“Kami yakin sekiranya beliau diberikan peluang sebagai pemimpin maka tentunya tidak akan mensia-siakan sokongan dari rakyat.

“Calon ini adalah orang tempatan dan sudah lama berkhidmat dalam UMNO Tawau, rasanya sudah lebih 40 tahun dan amat sesuai untuk diangkat sebagai pemimpin di sini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.