PRK Sungai Kandis : UMNO Bermesyuarat Malam Ini

SHAH ALAM, 18 Julai – UMNO akan bermesyuarat pada malam ini bagi membincangkan mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang ditetapkan pada 4 Ogos depan, susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata beliau telah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat bersama presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun enggan mengulas lanjut.

“Malam ini baru mesyuarat…saya hanya dipanggil untuk bermesyuarat dengan presiden mengenai persediaan menghadapi PRK Sungai Kandis itu sahaja, agenda mesyuarat saya tidak diberitahu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan mesyuarat itu antara lain akan membincangkan mengenai soal calon termasuk penetapan calon antara UMNO dan PAS selain cadangan penggunaan lambang UMNO pada PRK tersebut.

Penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini (21 Julai).

Baru-baru ini Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dilaporkan berkata parti itu mahukan kesefahaman bersama dengan UMNO dan BN serta parti pembangkang lain dalam usaha PAS meletakkan calonnya di kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit