BN Pilih Mohd Zaidi, Calon Terbaik Pertahan DUN Slim – Saarani

TANJUNG MALIM, 12 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata pucuk pimpinan parti telah meneliti serta membuat pertimbangan sewajarnya dalam membuat pilihan terbaik calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Menurut beliau daripada sembilan calon yang dikemukakan ianya telah disenarai pendek kepada lima dan seterusnya kepada tiga orang dan akhirnya Mohamad Zaidi Aziz yang merupakan Pemangku Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim dipilih sebagai calon BN.

“Pimpinan tertinggi UMNO Malaysia telah meneliti dan membuat penilaian serta pertimbangan sewajarnya ke atas beberapa nama untuk diangkat sebagai calon BN bagi PRK DUN Slim.

“Kesemuanya adalah tokoh-tokoh yang berkelayakan dan berkaliber, namun hanya seorang sahaja di antara mereka yang dipilih.

“Maka saya bagi pihak Pengerusi BN dengan ini mengumumkan bahawa calon BN adalah Mohd Zaidi Aziz,” katanya yang juga Pengarah PRK Slim.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Pengumuman Calon BN PRK DUN Slim, di Dewan Rajawali, di sini, hari ini.

Turut hadir pimpinan BN negeri dan bahagian yang lain serta rakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

Kata Saarani pertimbangan sewajarnya telah dilakukan untuk membuat penilaian di kalangan calon-calon tersebut.

“Dan kita memilih yang terbaik. Kriteria adalah calon yang boleh menang,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit