Mohd Zaidi Tekad Teruskan Legasi Allahyarham Datuk Khusairi, Bawa Suara Rakyat

SLIM, 12 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan pentadbiran Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Jelasnya lagi, selain itu beliau akan cuba memberi yang terbaik untuk para pengundi di sini sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat yang baharu.

“Saya akan cuba memberi yang terbaik dan berusaha untuk meneruskan kesinambungan arwah Datuk Khusairi,” ujar beliau kepada media selepas diumumkan sebagai calon di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak, di sini hari ini.

Selain itu jelas Mohd Zaidi, memandangkan majoriti pengundi di Slim adalah peneroka maka beliau akan berusaha membawa suara dan permasalahan peneroka untuk diketengahkan.

Sebelum itu, Pengerusi UMNO Perak merangkap Pengarah PRK Slim, Datuk Saarani Mohamad hari ini mengumumkan beliau sebagai calon BN di PRK tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi pada 15 Julai lepas.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit