Semangat Perjuangan UMNO Sabah Harus Jadi Contoh – Shahril

SEPANGGAR, 12 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata semangat perjuangan yang ada dalam diri pendukung UMNO Sabah kini perlu menjadi contoh kepada semua ahli di lain-lain negeri.

Katanya, walaupun UMNO negeri itu pernah menyaksikan pemimpin-pemimpinnya keluar parti secara besar-besaran, namun kesetiaan ahli-ahlinya terhadap perjuangan dan demi kejayaan parti harus dipuji.

“Kita harus memikirkan kenapa kita masuk politik. Kerana hanya menjiwai sebab-sebab kita masuk politiklah, kita boleh betul-betul berjuang dengan ikhlas dan benar-benar sanggup berkorban walaupun apa sahaja keputusan, apa sahaja perkara yang mungkin tidak menyebelahi emosi kita.

“Tetapi kalau kita ikhlas berjuang, saya yakin kita tidak akan sekali-kali curiga atau mencurigakan perjuangan ini,” katanya dalam majlis Diskusi Penerangan ‘Yang Lama Disanjung, Yang Muda Penyambung’ di Kampung Darau, di sini Selasa malam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Senator Datuk Yakub Khan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah Fadilah Sarbi dan bekas Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris.

Seterusnya ulas Shahril lagi, pengorbanan orang yang lebih dewasa akan tetap berada dalam parti walaupun dihujani dengan pelbagai tawaran mesti disanjungi oleh golongan muda.

“Dan ini membawa kepada soal topik ‘Yang Lama Disanjung, Yang Baru Jadi Penyambung’ kerana apabila kita ingat jasa orang yang lebih dewasa dalam UMNO, mereka yang sebenar-benarnya berkorban sewaktu boleh pilih opsyen yang lebih mudah, banyak dugaan, tawaran dan tarikan-tarikan yang diberikan.

“Saya yakin ramai lagi pemimpin yang kekal dalam UMNO Sabah ini pada ketika waktu tertentu selama dua tahun ini mereka banyak peluang untuk mencari habuan politik yang jalan pintas. Tetapi inilah yang saya sebutkan untuk kita menyanjungi pemimpin-pemimpin yang setia dengan perjuangan kita. Walaupun ada jalan pintas, ia kekal bersama jalan yang sukar kerana percaya itu jalan yang benar,” tegasnya lagi.

Oleh kerana itu, Shahril suka mengingatkan golongan muda dalam parti agar sentiasa berwaspada dan tetap konsisten dalam perjuangan.

“Saya mengajak kita yang muda-muda ini supaya ingat yang itu kerana saya yakin dalam masa-masa mendatang akan ada juga tarikan-tarikan yang boleh pilih jalan pintas.

“Ada orang kata kalau nak berjaya dalam politik sebagai orang muda jangan masuk UMNO, kerana UMNO ini susah, UMNO banyak rintangan-rintangan yang mana orang muda lebih mudah masuk ke parti-parti lain. Tetapi saya nak berpesan kepada orang muda, kita masuk politik bukan sebab nak kejar jawatan, nak terkenal… kalau nak terkenal mungkin boleh masuk parti-parti lain kerana hidup dengan sensasi. Kita bukan hidup dengan itu….

“Kita hidup dengan perjuangan, kita pilih UMNO kerana inilah parti yang terbaik untuk menjamin masa hadapan negara, memastikan kaum bumiputera diperjuangkan lebih baik dari parti lain, memastikan agenda negara menjaga kemajmukan antara kaum tidak digadaikan semata-mata untuk mencari undi, semata-mata untuk mencari populariti. Itu perjuangan kita,” jelasnya.

Berhubung perkara tersebut, Shahril juga berharap agar golongan muda diberi tempat selaras realiti dan kewujudan kepelbagaian generasi pengundi.

Sementara itu bagi Yakub yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar menasihati anak-anak muda agar jangan mempersiakan usia muda dan membuat keputusan dengan terburu-buru untuk mendapatkan sesuatu.

“Jangan persiakan masa muda ini, jangan rosakkan masa muda ini dan jangan gunakan masa muda ini dengan tergopoh-gapah. Maksud saya, kadang-kadang untuk capai sesuatu kita gunakan desakan, tekanan. Ingat…tidak ada yang tua, tidak ada yang muda…tidak ada yang muda, juga tidak akan ada yang tua.

“Kalau kita lihat kepimpinan kerajaan (Sabah) yang ada pada ketika ini hasil daripada tercetusnya kemarahan kehendak orang-orang muda, akhirnya seperti yang dikatakan oleh Allahyarham P.Ramlee ‘kita salah pangkah dapat tahi’, betul jadinya,” katanya.

Sebagai bukti ujarnya, Parti Warisan Sabah (Warisan) ternyata gagal mengurus dan memajukan ekonomi negeri apabila bagi tahun 2019, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah semakin merudum berbanding di era Barisan Nasional (BN) dan masalah pengangguran yang semakin membengkak hingga menjangkau ke angka 117 ribu orang bagi tahun yang sama. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit