Salah Guna Harta Kerajaan, Presiden PPBM Digesa Ambil Tindakan Terhadap Armada
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Shukor membidas tindakan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Armada yang menyalahguna harta kerajaan dan ia disifatkan sebagai satu perbuatan tidak bermoral.
Jelas beliau, tindakan Armada ini secara tidak langsung boleh memberi impak negatif kepada kerjasama yang dijalinkan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Harta kerajaan bukan milik peribadi kamu. Rakyat menilai dan melihat apa yang kita lakukan. Walau apa juga alasan mahupun ‘cable’ yang cuba diserlahkan, amat jelas tindakan tidak rasional ini telah menyalahgunakan kemudahan milik kerajaan.
“Saya amat yakin kos selenggara bagi setiap ‘tertib cara’ pesawat ini ditanggung oleh kerajaan dan bagi saya rakyat adalah penyumbang utama kepada kemampuan pentadbiran kerajaan khususnya para pembayar cukai.
“Jika inilah bentuk pemimpin pelapis yang bakal dilahirkan oleh Parti PPBM maka tidak mustahil Armada akan dipenuhi oleh golongan yang riak, sombong serta tidak bermoral,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian susulan tularnya gambar dari facebook yang menggunakan nama “Ridhwan Nordin – Berkempen Ke Pulau Pinang, Berkempen AMPT 07 dan ARMADA Nasional (101) (70) dan (59) dengan menggunakan pesawat TUDM untuk tujuan berkempen pemilihan ARMADA Nasional.
Justeru, Pemuda UMNO Selangor mendesak agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM mengambil tindakan sewajarnya agar ‘susu tidak rosak sebelanga hanya kerana nila setitik’.
“Menteri Kanan Datuk Ismail Sabri Yaacob juga perlu mengambil tindakan sewajarkan berkaitan isu ini kerana berkuasa, berjawatan dan mempunyai rangkaian bukan bermakna harta kerajaan boleh digunakan untuk suka-suka.
“Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu berucap di pelancaran jentera PRK DUN Slim juga telah menegas dan mengingatkan kepada semua pemimpin UMNO yang berjawatan dalam kerajaan agar tidak menyalahguna harta kerajaan untuk PRK ini.
“…. maka bagi saya, Presiden PPBM juga harus senada kerana kita telah berada di bawah satu bumbung, bekerjasama bersama dalam Perikatan Nasional. Kita tidak mahu nanti orang lain yang buat hal, terpalit pula pada pihak lain. Ini bukan perkara remeh… ia perlu tindakan tegas,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy