Kes Guan Eng: Hormati Istitusi Kehakiman… Belum Apa-apa Dap Tuduh Pendakwaan Politik – Shahril

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menempelak Dap yang belum pun apa-apa pendakwaan dibuat terhadap Lim Guan Eng namun laman media sosial parti terbabit telah menyebut bahawa pendakwaan politik oleh Perikatan Nasional telah bermula.

Katanya, kalau Barisan Nasional (BN) yang kena, laju bersorak dan ringan mulut terus hukum ‘bersalah’.

“Bila parti dia, belum dengar dakwaan, belum bicara, senang-senang cakap tiada bukti. Senang‐senang tuduh pendakwaan politik.

“Nak solidariti, silakan. Tiada siapa halang. Tetapi sepertimana BN menghormati institusi kehakiman, begitulah juga sewajarnya Dap dan Pakatan Harapan. Jika benar anda tidak bersalah, tegakkannya di mahkamah,” tegas beliau dalam kenyataan pendek menerusi laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, laman Facebook Dap memuatnaik gambar Lim Guan Eng bersama kenyataan ‘SPRM telah menahan Lim Guan Eng. Tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan. Pendakwaan politik oleh Perikatan Nasional ternyata telah bermula. Solidariti Bersama Lim Guan Eng.’

Dilaporkan, semalam Guan Eng ditahan SPRM kira-kira 9.30 malam.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan Guan Eng akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 pagi ini mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut kenyataan itu, Guan Eng juga akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kedua-dua pertuduhan di mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang itu bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, kata SPRM.

SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang mengikut Seksyen 23 Akta SPRM. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit