PRK Slim Menuju PRU-15, UMNO-PAS Perkasakan Muafakat Nasional – Saarani

TANJUNG MALIM, 6 Ogos – Pengerusi UMNO Perak merangkap Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim, Datuk Saarani Mohamad berkata UMNO dan PAS sentiasa bersama-sama bekerja kuat dalam memastikan Muafakat Nasional (MN) terus diperkasa.

Katanya, keikhlasan dan kejujuran adalah paling utama malah yang paling penting UMNO dan PAS bekerja kuat untuk memastikan kemenangan dalam PRK Slim yang akan datang.

“Kita kena bekerja kuat mudah-mudahan kalau tak jadi PRK dan tidak mahu lawan… kita tak rugi apa-apa, kerana PRK ini kita dapat mengeratkan silaturrahim antara UMNO dan PAS.

“Yang kita minta adalah keikhlasan dan kejujuran. Mari kita bekerja kuat ‘lillahitaala’ tiada imbuhan dan tiada apa-apa kerana kita hendak pergi ke Pilihan Raya Umum (PRU).

“UMNO dan PAS hendak pergi bersama-sama dan memastikan MN diperkasakan kerana kita hendak pergi PRU-15 atas nama MN. UMNO dan PAS tetap gunakan kesempatan ini untuk kita saling menguatkan silaturrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Ziarah Kasih Skuad Sayang 3K, PRK N58, Slim di Dewan Rajawali Felda Residence, hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz; Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan Ketua Muslimah PAS Tanjung Malim, Siti Zubaidah Abdul Rahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak sementara 15 Ogos ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon manakala 25 Ogos tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 28 Ogos nanti.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari Barisan Nasional (BN) pada 15 Julai lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.