‘UMNO Sudah Tidak Laku’… Ada Provokasi Terancang Musnahkan Hubungan Dalam PN
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Dalam keadaan negara sedang menuju kestabilan politik di bawah Perikatan Nasional (PN) di mana PPBM adalah sebahagian daripadanya, kenyataan pertama yang mengatakan UMNO seperti sarkas dan diikuti pula dengan UMNO sudah tidak laku oleh menteri daripada PPBM ini tidak lain dan tidak bukan adalah provokasi terancang oleh pencatur masalah dalaman PPBM.
Demikian kata Penolong Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Asuma Mohamed Sali berikutan tular di media sosial video Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dipetik berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai PPBM.
“Umum sedia maklum UMNO adalah parti terbesar yang mempunyai kerusi majoriti daripada mana-mana parti yang ada pada ketika ini.
“Penerimaan positif rakyat terhadap UMNO dan Muafakat Nasional dapat dilihat daripada beberapa siri kemenangan PRK yang telah berlangsung sebelum ini. Kemenangan di PRK Kimanis juga adalah bukti UMNO masih relevan di Sabah.
“Kenyataan Menteri ini yang menang sebagai ahli parlimen atas undian rakyat juga seolah-olah menolak dan memperkecilkan suara rakyat yang telah mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bidasnya yang juga Ketua Puteri Kuala Langat, ini jelas cubaan pihak-pihak tertentu yang mahu mengganggu-gugat hubungan baik dan persefahaman di antara UMNO dan parti-parti lain di dalam PN.
“PPBM harus memandang serius hal ini dan mengambil tindakan keras terhadap Menteri ini kerana beliau jelas berniat jahat dan mungkin juga agen kepada pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan hubungan baik antara parti kerana ada pihak yang nyata begitu terdesak hendak menggagalkan PN pada hari ini.
“PPBM perlu segera selesaikan masalah dalaman mereka agar konflik dalaman mereka tidak merugikan negara dan rakyat sekali lagi.
Kepada semua ahli UMNO diluar sana, UMNO adalah sebuah perjuangan. Kekuatannya adalah perjuangan ahli dan akar umbi yang tetap setia bersama parti ketika naik dan jatuh. Label yang diberikan oleh seorang ahli parlimen yang “melompat dan meninggalkan parti ketika parti kalah bukanlah penanda aras parti. UMNO tetap parti keramat,” katanya lagi. – UMNO Online