Kenyataan Biadap, Angkuh… Latiff Wajar Letak Jawatan – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius video tular kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang menyifatkan UMNO Sabah sebagai sebuah “parti yang tidak laku”.
Tegas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kenyataan biadab dan angkuh seperti itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya UMNO sebagai rakan komponen terbesarnya.
“Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera UMNO di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, gesa Dr Asyraf, demi maruah UMNO dan mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang berkerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional, Pemuda UMNO bertegas agar Datuk Latiff segera meletakkan jawatan selaku Menteri Kabinet.
“Pemuda UMNO tidak sesekali merelakan maruah parti terus dicabuli buat kali kedua dengan kata nista berupa penghinaan setelah perilaku pengkhianatan ke atas parti ini cuba kami kompromi,” katanya lagi.
Menerusi video yang viral di media sosial Abdul Latiff dipetik berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai PPBM.
“Saya orang yang melompat, teruk juga saya kena kutuk. Biasa la tu. Kalau tak nak tak payah masuk politik. Saya tak ada Facebook, Instagram, Twitter jadi orang tak boleh hentam saya. Kalau dia hentam saya pun saya tak tahu, sebab saya tak ada.
“Orang Sabah dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya pergi ke USNO, Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, UMNO sekarang ini tak laku lagilah. UMNO di Sabahlah. Itu realitinya. Kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” kata Abdul Latif dalam video itu.
Terdahulu, Abdul Latiff adalah antara enam ahli Parlimen UMNO yang keluar daripada parti itu dan menyertai PPBM pada 12 Februari tahun lalu selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – UMNO Online