UMNO Selangor Belum Bincang PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM, 9 Julai – UMNO Selangor belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang ditetapkan pada 4 Ogos depan, susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata parti itu juga belum bermesyuarat mengenai soal calon.

Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira pukul 11.10 pagi akibat kanser limfoma.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan penamaan calon pada 21 Julai ini manakala pengundian pada 4 Ogos.

Mat Nadzari yang dihubungi Bernama di sini hari ini juga enggan mengulas sama ada parti itu berkemungkinan akan berbincang dengan PAS dalam soal penetapan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari yang mewakili Barisan Nasional (BN); Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit