Imej Pasar Borong Kuala Lumpur Perlu Ditambah Baik – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Imej Pasar Borong Kuala Lumpur perlu ditambah baik selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berakhir di kawasan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Keadaan di sekitar pasar itu tidak boleh kelihatan kotor seperti sekarang dan pekerja asing di kawasan tersebut perlu berdaftar dengan pihak berkuasa.

“Selepas PKPD, saya terpanggil untuk mencari penyelesaian untuk menambah baik keadaan Pasar Borong (Kuala Lumpur) kerana kita sebagai negara maju, tidak boleh mempunyai pasar borong yang kelihatan seperti negara kelas ketiga.

“Jadi, saya akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Pasar Borong Kuala Lumpur dan akan melakukannya secara bersama dengan pelbagai pihak,” katanya dalam siaran langsung Facebook hari ini.

Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang diletak di bawah PKPD bermula 20 April dan tempohnya akan berakhir esok (3 Mei).

Sementara itu, Annuar berkata hanya 500 pendatang tanpa izin yang digempur di kawasan PKPD sekitar Masjid India.

Mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah diserahkan kepada Jabatan Imigresen setelah disahkan bebas COVID-19 dan kuarantin selama 14 hari.

“Ada berlakunya salah faham yang semua warga asing ditangkap oleh Imigresen semalam, itu tidak benar. Seramai 3,000 hingga 4,000 warga asing di sana tak ditangkap pun, semua diberi makanan percuma dan telah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Walaupun tamat PKPD tetapi undang-undang masih perlu berjalan, jadi hanya pendatang tanpa izin sahaja dipindahkan ke fasiliti Jabatan Imigresen.

“Jika ada warga asing yang memegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) mereka akan dilayan sebagai pemegang kad UNHCR. Namun bagi mereka yang tiada dokumen, proses tertakluk kepada undang-undang seperti biasa,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa beratus-ratus warga asing di sekitar kawasan PKPD Masjid India digempur pasukan Jabatan Imigresen. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.