UMNO Terengganu Agih Sumbangan RM206,100 Kepada Penduduk Terjejas PKP

KUALA TERENGGANU, 12 April – Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu hari ini mula menyumbang RM206,100 kepada 7,040 keluarga yang memerlukan bantuan barangan keperluan dapur susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan yang diperoleh daripada Tabung COVID-19 UMNO Terengganu yang dilancarkan pada 29 Mac lepas.

“Semua 10 ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) UMNO Terengganu dan seorang Ahli Parlimen bersetuju menyumbangkan sebulan elaun wakil rakyat mereka yang keseluruhannya berjumlah RM134,600.

“Manakala baki RM71,500 pula disumbangkan oleh beberapa syarikat swasta,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terengganu mempunyai 32 DUN iaitu 22 DUN diwakili PAS manakala baki 10 DUN diwakili UMNO.

Ahmad Said, yang juga ADUN Kijal, berkata semua bantuan seperti beras, tepung gandum dan minyak itu akan selesai diagihkan kepada golongan sasar dalam minggu ini.
— BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.