RM2.1 Bilion: Wang Diluluskan, Tapi Tak Sampai KKDW?

KUALA LUMPUR, 8 Okt – “Kalau peruntukan sudah diluluskan tetapi wang tidak pernah sampai kepada kementerian, siapa sebenarnya yang perlu menjawab?”

Itu persoalan yang dilontarkan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, berhubung isu peruntukan tambahan berjumlah RM2.1 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Akmal menegaskan, perkara asas yang perlu dijelaskan bukan sekadar mengapa KKDW menerima atau melaksanakan peruntukan berkenaan, tetapi mengapa peruntukan yang telah diselaraskan dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) tidak disalurkan kepada KKDW bagi membolehkan bayaran dibuat kepada kontraktor.

Lebih penting, katanya, projek berkenaan telah mendapat kelulusan MOF dan Surat Setuju Terima (SST) juga telah dikeluarkan.

“Persoalan sebenar yang perlu dijawab ialah, projek telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, SST telah dikeluarkan, tetapi mengapa peruntukan yang telah diluluskan itu tidak disalurkan kepada KKDW untuk membolehkan bayaran dibuat kepada kontraktor?” katanya.

Menurut Akmal, KKDW dalam perkara tersebut hanyalah bertindak sebagai kementerian penyelaras bagi pelaksanaan peruntukan yang telah diluluskan.

Justeru, katanya, amat tidak wajar sekiranya kementerian berkenaan akhirnya dipersoalkan mengenai wang yang diluluskan tetapi tidak pernah sampai kepada kementerian untuk tujuan pembayaran.

Akmal berkata, persoalan paling penting sekarang ialah memastikan keseluruhan rantaian proses kewangan itu dibuka kepada pengetahuan umum.

“Siapa yang meluluskan peruntukan? Siapa yang mengeluarkan SST? Siapa yang bertanggungjawab menyalurkan wang?

“Dan di peringkat mana sebenarnya proses itu terhenti?”

Katanya, jawapan kepada persoalan tersebut perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum mana-mana pihak membuat kesimpulan atau meletakkan kesalahan kepada kementerian tertentu.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam tatacara kewangan kerajaan, kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan tanpa peruntukan dan kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa kewangan.

Dalam perkembangan sama, Akmal menyifatkan sebagai menghairankan apabila seorang mantan Menteri Kewangan sendiri membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara berkenaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sekiranya benar wujud unsur salah laku, siasatan sewajarnya perlu dijalankan dan fakta perlu didedahkan.

Namun, katanya, siasatan juga perlu mengambil kira keseluruhan proses dan tanggungjawab setiap pihak yang terlibat dalam kelulusan serta penyaluran peruntukan.

“Jika benar terdapat isu atau salah laku, siasatan perlu dibuat dan fakta perlu didedahkan.

“Tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu memahami dengan jelas siapa yang meluluskan peruntukan, siapa yang mengeluarkan SST, siapa yang bertanggungjawab menyalurkan wang dan di peringkat mana proses itu terhenti,” katanya.

Akmal kemudian mengkritik bekas Menteri Kewangan yang menurutnya sepatutnya lebih memahami selok-belok tatacara kewangan kerajaan.

“Kalau mantan Menteri Kewangan sendiri tidak memahami tatacara kewangan yang berlaku ketika di bawah pentadbirannya, maka tidak hairanlah rakyat tertanya-tanya bagaimana pengurusan kewangan negara ketika itu boleh menjadi begitu bercelaru,” katanya.

“Kesian negara ada MP yang masih lagi tidak faham tatacara kewangan negara.”

Menurut Akmal, isu RM2.1 bilion itu tidak seharusnya dijadikan medan menuding jari semata-mata.

Sebaliknya, rakyat berhak mengetahui secara jelas di mana wang itu diluluskan, di mana ia sepatutnya disalurkan dan di peringkat mana proses pembayaran kepada
kontraktor terganggu.

Jika benar terdapat salah laku, katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan berdasarkan dokumen dan fakta.

Tetapi jika peruntukan telah diluluskan, SST telah dikeluarkan dan kementerian pelaksana pula tidak menerima dana berkenaan, maka persoalan lebih besar perlu ditujukan kepada pihak yang mempunyai kuasa terhadap penyaluran peruntukan tersebut.

“Jangan akhirnya KKDW dipersoalkan mengenai wang yang telah diluluskan tetapi tidak pernah sampai kepada kementerian untuk dibayar,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO