PRK Kimanis Medan Suarakan Bantahan Terhadap PSS

KIMANIS, 12 Jan – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini bukan hanya sekadar pilihan raya tetapi ia adalah satu suara bantahan rakyat Sabah kepada kerajaan negeri yang mahu melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

Jelas beliau, bantahan ini bukan sekadar untuk masa kini tetapi apa yang lebih penting adalah untuk masa depan anak bangsa Sabah sendiri.

“Rakyat Sabah bersuara dan jangan benarkan perkara yang tidak boleh dibuat dilaksanakan.

“Sudahlah rakyat makin susah, PSS pula hendak dilaksanakan,” ujar beliau ketika berkempen di PDM Kabang malam tadi.

Ketika berucap beliau turut menceritakan bahawa kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri telah memperuntukkan RM1 bilion setahun untuk memperbaiki sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

“Ketika itu saya menjadi Menteri Pelajaran tetapi hanya RM500 juta sahaja yang sempat dibelanjakan dan selepas itu BN telah kalah dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Baki RM500 juta tidak sempat dibelanjakan dan lebih malang kerajaan baru telah tarik peruntukan tersebut. Selain itu semasa pemerintahan BN kita ada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tetapi sekarang sudah tidak ada malah dalam Belanjawan juga tidak sebut pasal KWAMP.

“Kita juga ada rancangan makanan tambahan untuk pelajar miskin tapi kerajaan baru konon nak buat sarapan pagi untuk semua pelajar… 2.1.2020, bukan sarapan sahaja tidak ada, menteripun sudah letak jawatan,” bidas beliau.

Justeru ujar Mahdzir, pengundi Kimanis jangan lagi terpedaya dengan janji PH dan Warisan.

“Maka pengundi Kimanis harus bijak memilih pada 18 Januari nanti dengan memilih calon BN Datuk Mohamad Alamin,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit