PH Kalau Dah Malas Baca Kertas Kabinet, Baik Letak Jawatan – Dr Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang memaklumkan menteri memberikan kelulusan tanpa membaca dengan teliti berkaitan kertas cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memansuhkan elaun bulanan bagi perkhidmatan kritikal.
Tegasnya, keputusan sebesar memansuhkan Elaun Kritikal Penjawat Awam Profesional diluluskan sewenang-wenangnya tanpa membaca kertas cadangan secara terperinci adalah amat mengecewakan
“Apa jua alasan Menteri Khalid Samad termasuk tak cukup masa untuk membacanya adalah tidak boleh diterima sama sekali apatah lagi melibatkan periuk nasi rakyat,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut menerusi Facebooknya, hari ini.
Soal beliau, kenapa angkuh dan sombong sangat tatkala jadi menteri?
“Sudah tercabutkah naluri keinsanan untuk mengambil kira denyut nadi rakyat yang hakikatnya kian tertekan dengan kos sara hidup yang tidak turun-turun sebagaimana dijanjikan PH sebelum jadi kerajaan?
“Kalau sudah malas dan tiada masa membaca kertas kabinet, lebih baik letak jawatan!
“Kalau hal ehwal rakyat pun begitu mudah diperkotak-katikkan, lebih baik bubar parlimen! Setuju?”
Terdahulu, dilaporkan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember, pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) penjawat awam yang melibatkan sekurang-kurangnya lebih 33 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat, pegawai perubatan dan profesional lain mulai lantikan 2020 namun kemudiannya ia ditarik balik. – UMNO ONLINE