‘Muafakat Nasional Pemacu Politik Malaysia’ – Teks Ucapan Dasar Presiden PAU 2019
TEKS UCAPAN DASAR PRESIDEN
YB DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2019
6 DISEMBER 2019
DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR
“MUAFAKAT NASIONAL PEMACU POLITIK MALAYSIA”
SEGALA PUJI KEPADA ALLAH SWT PEMILIK SEMESTA ALAM. SALAM DAN SELAWAT TERHADAP JUNJUNGAN BAGINDA RASULULLAH SAW.
1. Saya juga mengalu-alukan kehadiran teman setia kita dari MCA dan MIC serta teman baharu, PAS. Tidak lupa juga kepada teman-teman penyokong setia Barisan Nasional, pendukung Muafakat Nasional, pelbagai pertubuhan NGO, wakil media, media sosial dan saudara-saudari yang dihormati sekalian.
2. I would like to express, my sincere gratitude and appreciation, to His Excellencies, the High Commissioners, and Ambassadors of the Diplomatic Corps, for being present today.
3. Kita turut mengalu-alukan kehadiran pemimpin-pemimpin veteran UMNO sekelian. Bagi yang telah meninggalkan kita, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Al-Fatihah.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
4. Alhamdulillah. Sekali lagi kita berhimpun demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara. Saya kagum melihat pejuang UMNO berdiri gagah penuh semangat, memaparkan kesediaan untuk terus menjadi mata rantai suatu perjuangan membela rakyat.
5. Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai mengadakan persidangan masing-masing semalam.
6. Begitu juga cawangan dan bahagian yang telah berjaya mengadakan mesyuarat tahunan dengan kehadiran yang lebih ramai daripada biasa. Terima kasih kepada semua Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan Negeri kerana berjaya melaksanakan Konvensyen UMNO negeri masing-masing. Insyallah Setiap resolusi akan diteliti oleh Jawatankuasa Usul dalam usaha untuk memperkukuhkan parti.
7. Tidak lupa juga kita memberikan penghargaan atas komitmen dan usaha Veteran UMNO, MUBARAK, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri UMNO, BN Youth Volunteers malah saya bangga melihat gandingan Wanita UMNO dan Muslimat PAS, Pemuda UMNO dan Pemuda PAS, Puteri UMNO dan Ameerah PAS, Skuad Sabil UMNO dan Jabatan Amal PAS. Kita juga mengambil kesempatan mengalu-alukan kerjasama mahasiswa-mahasiswi dari dalam dan luar negara yang memperlihatkan kecenderungan mereka bersama-sama kita.
8. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua jentera parti atas kejayaan kita memenangi 4 pilihan raya kecil bermula dari Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan terbaharu di Tanjung Piai. Ucapan terima kasih kepada Pengerusi-pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang menjadi negeri angkat di Pusat Daerah Mengundi dan juga ketua-ketua bahagian yang menjadi bahagian angkat di PDM-PDM berkenaan.
9. Masa berlalu begitu pantas. Sekilas imbau 14 purnama lalu, dalam ucapan sulung saya sebagai Presiden parti saya telah menggariskan 7 langkah besar untuk dilaksanakan bersama 21 tindakan. Alhamdulillah, ia semakin rancak dilaksanakan.
10. Kita telah laksanakan pelbagai perubahan bagi memastikan UMNO menjadi sebuah parti yang mendukung cita-cita Islam, kebangsaan Melayu dan perpaduan Malaysia, demi kemakmuran dan kestabilan negara. UMNO tetap mempertahankan kedaulatan undang-undang dan mendaulatkan Institusi Raja-Raja Melayu. Yakinlah, Malaysia yang aman dan stabil akan menguntungkan semua rakyat di negeri ini.
11. Saya faham, sebelum ini UMNO tidak pernah menjadi pembangkang, tentunya kita tidak bersedia memikul peranan tersebut, kerana kita tiada pengalaman. Namun, kita akur kepada kehendak rakyat yang membuat pilihan dalam PRU 14, kesan dari fitnah persepsi dan tipudaya lawan kita. Ingatlah akan pesanan daripada Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 120:
إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ
وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ
وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡـًٔاۗ
إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ
Yang membawa maksud:
Kalau kamu beroleh kebaikan, maka yang demikian itu menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
Benarlah… hari ini kita lihat mereka sedang mentertawakan kita diatas kekalahan, akibat angkara tipu daya dan fitnah yang dilakukan oleh mereka. Bersabarlah… masa akan menentukan segalanya. Ambillah ini sebagai teguran sayang rakyat untuk kita.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
12. Saya telah meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi untuk mengkaji dan meminda beberapa Fasal dalam Perlembagaan parti bertujuan menjadikan UMNO sesuai dengan naratif politik baharu. Kita juga membuat dua pelantikan penting untuk memantapkan UMNO dan Barisan Nasional.
13. Pelantikan YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan YB Dato Sri Mohd Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN merupakan antara usaha kita dalam menggembleng tenaga pemimpin berpengalaman untuk terus menyumbang kepada parti. Saudara saudari, apa yang penting, niat kita hanya satu, untuk menang.
14. Terdapat beberapa Fasal Perlembagaan Parti yang melibatkan kedudukan Pergerakan Wanita, keahlian ahli bersekutu, autonomi politik Sabah dan lain-lain lagi akandibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.
15. Pindaan ini dilakukan untuk memastikan kelangsungan bahtera UMNO belayar megah walau dilanda ombak, badai mahupun tsunami politik. Kita bertanggungjawab penuh untuk merekayasa UMNO sesuai dengan kemahuan dan aspirasi rakyat.
16. Untuk itu, UMNO perlu mempercepatkan pembaharuan nilai, ideologi dan pemikiran politik. Kita pernah terperangkap dalam pemikiran dan budaya politik kurun ke-20 yang menghindari idea bernas.
17. Sesungguhnya, UMNO harus bersedia, meninggalkan budaya negatif tersebut, demi melangkah ke hadapan menghadapi cabaran mendatang. Arus modenisasi telah mengubah masyarakat tradisional Melayu kepada masyarakat yang bersifat lebih terbuka dan berlainan paradigmanya. Jika dahulu pendokong kuat UMNO terdiri daripada kalangan orang Melayu luar bandar, tetapi hari ini penduduk luar bandar hanyalah 24 peratus jumlahnya. Ini berikutan proses urbanisasi sebagai sebahagian proses modenisasi yang perlu disantuni oleh UMNO.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
18. UMNO milik kita! Jika mahu terus relevan, UMNO perlu menterjemahkan segala dasar dan tindakannya mengikut hasrat dan keperluan rakyat. Setiap ahli UMNO perlu peka terhadap keperluan, keperitan, kemahuan dan cita-cita rakyat. Kitalah benteng serta jurubicara rakyat.
19. Sebagai pembangkang, transformasi politik UMNO perlu seiring dengan kehendak politik abad ke-21. Modenisasi politik UMNO bukan lagi pilihan tetapi satu kemestian. It is not an option, but a must.
20. Justeru, dua budaya baharu politik modenisasi abad ke-21 perlu diterapkan dan disemai dalam UMNO, merangkumi yang Pertama, Politik Ketahanan dan yang Kedua, Politik Berimbang.
21. Apa itu Politik Ketahanan? Ia bermaksud UMNO hendaklah memperkuatkan daya tahan dan daya juang, agar tidak mudah diurai oleh cabaran keduniaan atau sogokan. Sudah tentu, kita diasak, hingga kadangkala melemahkan semangat juang, malah ada yang sanggup menggadai maruah perjuangan. UMNO wajib merubah dirinya, supaya mampu membina sifat ‘political resillience’ atau ‘ketahanan politik’.
22. Demi menjadikan parti sentiasa pragmatik dan relevan dengan zaman, ketahanan politik ini perlu diperkasakan bukan hanya dengan perubahan sikap dan minda, tetapi juga dari segi teknologi dan maklumat. Apabila UMNO mampu memenuhi tuntutan masa dan responsif, ia juga merupakan tawaran politik baharu kepada rakyat.
23. Sesungguhnya, saya amat berharap daya tahan, daya juang dan daya saing luar biasa yang kita miliki hari ini diteruskan dan diperkukuhkan sehingga menjelang PRU 15. Ayuh! Kita mantapkan daya tahan, daya juang dan daya saing untuk memastikan UMNO terus progresif, dinamik dan relevan sepanjang masa.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
24. UMNO perlukan Politik Berimbang bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang. UMNO bukan parti yang “rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal” , “La ifrot wa la Tafrit”. Kita perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli.
Berasaskan kepada ketegasan:
“Apabila hak kita dicabar”!
“Apabila keamanan kita digugat”!
“Apabila keharmonian kita dirobek”!
“Apabila kedaulatan kita dipersenda”!
Sama-sama kita bangkit mempertahankannya!!!
Ingatlah!!! Tunduk kepala, bukan untuk dipijak.
Berlembut, bukan untuk diperbodohkan.
Saudara Saudari, sidang perwakilan sekalian,
25. Transformasi UMNO sedang berjalan, seiring dengan tuntutan politik abad ke-21. Kita perlu mengambil ibrah atau pengajaran daripada nasib parti-parti politik dunia yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party”. Ada yang tersungkur terus. Ada juga yang tewas, tetapi bangkit kembali. Demi kelangsungan ini, UMNO perlu bangunkan naratif politik baharu agar ia terus relevan di persada politik tanah air dan antarabangsa.
26. Ingatkah kita… tarikh 14 September 2019 menjadi detik bersejarah apabila Piagam Muafakat Nasional ditandatangani. Walaupun impian murni ini mungkin tergendala oleh pendekatan politik yang agak rigid sebelum ini, namun atas ketentuan Allah SWT akhirnya terpaterilah Muafakat Nasional. Muafakat Nasional adalah tawaran baharu atau new deal kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah kita terfikir sebelum ini.
27. Syukur ke hadrat Allah, impian besar kita, untuk melihat penyatuan orang Melayu telah tercapai, tanpa mengenepikan bangsa lain.
Meminjam sebahagian dari petikan doa Datuk Seri Jamil Khir Baharom sempena Himpunan Penyatuan Ummah 914 yang mengungkapkan,
“Hari ini,
tiada lagi permusuhan,
tiada lagi pertembungan,
tiada lagi persengketaan,
anak dan bapa kembali sejalan,
ipar duai kembali bertaut,
imam dan makmum kembali kepada safnya,
semuanya kembali tunduk dan mengimani perintah suciMu.”
28. Terima kasih… Terima kasih kepada rakyat terutamanya orang Melayu, andalah pencetus Muafakat Nasional. Dari rakyat penyatuan ini bermula, dan rakyatlah yang akan mempertahankannya. Tanpa rakyat tidak mungkin Muafakat Nasional mampu direalisasikan.
29. Muafakat Nasional adalah cerminan politik berimbang yang melindungi semua kaum, walaupun orang Melayu sebagai terasnya tetapi rakan-rakan kita berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain turut diraikan dan disantuni seperti pepatah Arab “ Nahnu Du’at La Qudha’ ” yang membawa maksud “kita penyantun bukan penghukum”. Saya tegaskan sekali lagi “Nahnu Du’at La Qudha’ ” “kita penyantun bukan penghukum”.
30. Malah, Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy, mantan Yang Dipertua PAS Pusat pernah menyebut “Kebangsaan Melayu itu bersendikan dasar jiwa yang luas, bukan sekali-kali kebangsaan yang sempit dan degil, dan tidak sekali-kali bersifat chauvinis dan isolation”. Inilah yang dimaksudkan sebagai politik berimbang.
31. Melalui Muafakat Nasional, kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas. Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan. Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara kita bersiap menunggu PRU ke-15, banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional, Insyallah…
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
32. Dalam sejarah Rasulullah SAW , Perjanjian Hudaibiyah merupakan kemuncak ujian ketaatan pengikut kepada pemimpin, di mana adakalanya keputusan pimpinan tidak populis tapi penuh strategik. Keputusan Rasulullah SAW menerima Perjanjian Hudaibiyah ketika itu, seolah-olah mengenepikan semangat dan keberanian para sahabat untuk masuk ke Mekah, setelah dihalang oleh kaum musyrikin Mekah. Hakikatnya keputusan Rasulullah SAW terbukti amat menguntungkan umat Islam ketika itu dan ramai pengkaji sejarah mengatakan itulah turning point kepada kejayaan Islam sehingga tersebar ke seluruh pelosok dunia.
33. Perjanjian Hudaibiyyah juga merupakan contoh terbaik bagaimana Rasulullah SAW membina upaya politik berimbang yang menghormati hak semua agama. Hakikatnya, politik berimbang ini diasaskan di Madinah. Di atas prinsip inilah juga kedaulatan undang-undang dibentuk di Madinah. Kedudukan politik Madinah diperkukuh melalui persefahaman semua pemimpin kaum. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain.
34. Ujian getir yang pertama bagi Muafakat Nasional hadir dalam bentuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai. Ia memberi banyak pengajaran kepada kita serta menjadi kayu pengukur kepada sokongan masyarakat Cina dan bukan Melayu, kepada BN dan Muafakat Nasional.
35. Kemenangan BN dengan majoriti besar 15,086 undi, bukti kesepakatan dalam Muafakat Nasional melangkaui bangsa dan fahaman politik. UMNO, PAS, MCA, MIC, Friends of BN, Veteran UMNO, MUBARAK, NGO malah tokoh-tokoh lama dan sukarelawan telah membuktikan kesepakatan dalam bentuk gerak kerja yang menatijahkan kemenangan yang disokong oleh rakyat. Ini juga bukti kita meraikan kepelbagaian pendapat sekaligus menafikan tohmahan bahawa gabungan 2 parti Melayu terbesar ini adalah rasis dengan label Taliban.
36. Kemenangan tersebut juga membuktikan Muafakat Nasional semakin diterima oleh rakyat sebagai satu naungan dan naratif politik baharu. Adalah menjadi cabaran besar kepada BN dan Muafakat Nasional untuk mengekalkan momentum kemenangan ini. Harus diingat ‘Untuk memperolehi kemenangan adalah sukar, tetapi untuk mempertahankan kemenangan itu, adalah jauuuh lebih sukar’.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
37. Apa yang membimbangkan kita, kerajaan hari ini menyatakan mereka tidak akan merobah hasrat asal Perlembagaan Persekutuan. Mungkin benar, mereka belum mengubah Perlembagaan, tetapi kita dapati menerusi arahan pentadbiran, sedikit demi sedikit mereka telah menghakis matlamat Perlembagaan. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh mereka secara licik, menidakkan segala hak keistimewaan orang Melayu.
38. Kerajaan juga berhadapan dilema yang lebih besar. Kumpulan liberalis, anti-Melayu dan Islam, kumpulan yang simpati dengan komunis dan sosialis, menggunakan kemenangan PH bagi meruntuhkan apa yang telah kita bina selama ini.
39. Amat mengecewakan, kita selama ini menolak fahaman komunis, ribuan rakyat menjadi korban, lebih puluhan ribu anggota pasukan keselamatan terbunuh sewaktu kita menentang gerila Komunis di hutan belantara.
40. Mengimbau kembali kekejaman komunis, ada yang dibakar hidup-hidup, ada ibu mengandung yang dirodok perutnya hingga terburai, ada mangsa kepalanya berkecai ditembak dengan kejam, ada juga yang dimasukkan ke dalam guni dan dicampak dalam unggun api, ada yang dikurung dalam rumah sebelum di bakar, ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami, anak menjadi piatu, anggota tentera, polis, pasukan homeguard malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim, dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong, turut dibunuh.
41. Tanpa memikirkan semua kekejaman komunis, kerajaan hari ini bukan sahaja membiarkan pertemuan mereka yang simpati kepada pengganas komunis, malah abu mayat Chin Peng dibawa pulang dan ketua pengganas itu didewa-dewakan. Mereka juga mahu menukar sejarah menganggapnya sebagai pejuang kemerdekaan. Sesungguhnya tindakan kerajaan sebegini amat menghiris hati rakyat.
Dari Cameron Highlands ke Tanjung Piai,
Mengibar Panji Penyatuan Ummah,
Daripada hidup bercermin bangkai,
Baik mati berkalang tanah.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian
42. Kuasa politik adalah kunci kepada survival anak cucu kita, dan orang Melayu sebagai bangsa asal Nusantara. Tanpa kuasa politik, kita tidak mampu berbuat apa-apa selain mengikut telunjuk mereka. Muafakat Nasionalakan menjadi naratif politik baharu ‘a new political narrative’ dan bukan hanya gabungan biasa.
43. Kita tidak menjanjikan tawaran bulan dan bintang bagi menarik sokongan populis, sebagaimana dilakukan oleh Pakatan Harapan. Pepatah Arab menyebutkan “Bul ala ZamZam, fatu’raf” ‘Kencinglah di telaga Zam-Zam, pasti kamu akan terkenal’. Itulah yang telah mereka lakukan.
44. Sesungguhnya adalah iltizam kita untuk terus memperjuangkan untung nasib rakyat yang bagaikan “patah dahan tempat berlindung, patah lantai tempat berpijak” . Ketika ini, nasib mereka bukan sahaja diabaikan malah tiada tempat untuk berpaut. Kepada UMNO-lah, mereka menaruh harapan.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
45. UMNO memayungi keharmonian rakyat. UMNO, MCA, MIC teras Barisan Nasional, bersama PAS dan ahli gabunganya, kita membentuk Muafakat Nasional. Kita juga membuka pintu seluas-luasnya kepada parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama menggarap naratif politik baharu. Gabungan inilah yang akan menjadi alternatif terbaik dalam memahami denyut nadi rakyat kelak.
46. UMNO mengambil peduli ekonomi rakyat marhaen. Kerajaan dilihat sedang menguruskan kitaran ekonomi secara songsang, dalam tempoh yang sangat singkat kerajaan telah menjual banyak aset strategik dengan anggaran RM33 bilion. Walaupun perkembangan ekonomi Malaysia menguncup tetapi itu bukannya alasan untuk mereka menjual aset-aset strategik negara apatah lagi aset-aset agensi amanah orang Melayu dan Bumiputera.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
47. Kehidupan golongan B40 dan M40 semakin sukar dan terhimpit. Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak menurunkan harga barang, rakyat marhaen tidak mendapat faedah daripada SST. Yang untung hanya golongan tertentu sahaja. Penerima Bantuan Sara Hidup dikurangkan kepada 5 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion sahaja berbanding 7 juta penerima dengan peruntukan BR1M, yang dahulu dianggap sebagai dedak, sebanyak RM 6.8 bilion di zaman kerajaan Barisan Nasional.
48. UMNO mendengar segala rintihan petani, peneroka Felda dan nelayan. Pada Mei 2018, harga satu tan kelapa sawit mentah ialah RM600 tetapi kini hanya tinggal sekitar RM280 satu tan. Lebih 650,000 isi rumah pekebun kecil sawit dan 112,000 isi rumah peneroka FELDA di seluruh negara menanggung akibat. Dahulu nelayan diberikan elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan, kini dipotong kepada RM250 sebulan. Malahan ramai lagi yang dinafikan haknya untuk menerima bantuan ini.
49. Orang Kelainan Upaya (OKU) turut terkesan di mana dulu mereka memperolehi RM350 sebulan, kini dipotong kepada RM300. Dahulu guru-guru KAFA dapat RM1,500 setahun, kini RM1,200 setahun. Imam, bilal dan tok siak dahulu dapat bantuan RM1,500, kini tinggal RM1,200.
Apakah ini dinamakan kerajaan prihatin?
Apakah ini kerajaan yang membela rakyat?
Apakah ini yang rakyat mahu?
Rakyat perlukan penyelesaian ekonomi yang tuntas!!!
Ayuh!!! Kerajaan sepenggal ini harus kita kuburkan!!
50. UMNO amat prihatin dengan nasib penjawat awam. Terima kasih kepada mereka kerana memberi kerjasama kepada kerajaan BN sebelum ini. Kami faham tentang masalah mereka dan dilema yang dihadapi. Ribuan pekerja bertaraf kontrak diberhentikan dan saiz kakitangan awam telah dikurangkan. Malah kerajaan PH hari ini dilihat seolah-olah “berperang” dengan penjawat awam. Beberapa orang KSU dan SUK dipetisejukkan. Cuma ketika ini kita sekadar mampu menghulurkan empati atas nasib yang menimpa mereka. Apabila tiba PRU ke-15 nanti, pilihlah kembali kerajaan yang benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan untung nasib anda sekalian.
51. UMNO amat memahami kehendak generasi muda. Pengangguran golongan muda negara hari ini pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Thailand iaitu kira-kira 5.9 peratus dan Vietnam 7.9 peratus. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia pada suku pertama 2019 seramai 516,600 rakyat Malaysia sedang menganggur.
52. Bagaimana boleh kita harapkan kerajaan PH bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu sedangkan semakin ramai tenaga kerja hilang pekerjaan, ekonomi merudum teruk, syarikat-syarikat yang untung dilelong, kononnya hendak membayar hutang, tetapi hutang semakin meningkat. Mereka terpaksa mencipta pembohongan demi pembohongan untuk menutup pembohongan lama mereka. Jika di hulunya keruh, tentunya di hilir lagilah keruh.
53. Kerajaan sudah memutuskan rakyat yang berumur 18 tahun boleh mengundi dan didaftarkan secara automatik. Kita jangkakan seramai 7 juta pengundi yang tidak pernah mengundi dalam pilihan raya umum akan mengundi pada PRU ke-15. UMNO, Barisan Nasional dan Muafakat Nasional, perlu lebih fokus dan agresif mendekati golongan ini.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
54. Sekali lagi saya tegaskan, Politik Ketahanan dan Politik Berimbang adalah modenisasi UMNO. Kerana itulah saya yakin Muafakat Nasional adalah medium baharu dan segar, yang akan membawa kita semua melalui lebuhraya politik untuk kembali ke Putrajaya. Permuafakatan adalah penyelesaian kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum dalam konteks masyarakat majmuk bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
55. Oleh itu, sebagai persediaan, saya menyeru kepada seluruh kepimpinan dan ahli UMNO pelbagai peringkat untuk melakukan inovasi politik dan gerak kerja parti:
> Kita wajar mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat sejajar perkembangan Revolusi Industri 4.0. Kita hendaklah memaksimumkan penggunaan media sosial dalam memacu pengaruh, membina persepsi positif dan menyebarkan mesej agar akar umbi UMNO dan rakyat mendapat mesej yang sebenar.
> Kita perlu ada budaya gerak kerja yang berorientasikan pencapaian terbaik dan bukan sekadar sebuah pencapaian fizikal semata-mata.
> Kita juga harus merangka story board, story line dan menguasai kemahiran story telling mengenai isu yang dekat di hati rakyat dan disebarkan secara konsisten bagi menghadapi peperangan persepsi.
> Kita perlu memanfaatkan penyelidikan dan big data dalam setiap perhitungan politik tanpa mengabaikan sentuhan dan nilai manusiawi.
> Kita juga perlu menjelmakan UMNO di pelbagai medium dan wacana nasional agar kehadiran kita bukan sekadar dirasai tetapi amat bermakna untuk semua.
> Kita berterima kasih kepada aktivis media sosial yang sentiasa membantu parti menyebarkan maklumat.
Saudara saudari, sidang perwakilan sekalian,
56. Dalam kesempatan ini, izinkan saya menzahirkan perasaan saya, saat kita sama-sama bergelut dalam pilihan raya kecil di Tanjung Piai tempoh hari. Saya dapat melihat jerih payah serta tulusnya teman-teman seperjuangan memikul amanah turun berkempen untuk memenangkan calon kita.
57. Kita turun ke lapangan, bekerja keras, pagi, petang, siang malam, tanpa menghiraukan letih, lapar dan dahaga. Kita datang dari seluruh pelusuk tanah air meninggalkan keluarga. Walaupun ada yang tidak sihat, namun atas nama perjuangan, kita lupakan semua masalah.
58. Lebih menyentuh hati saya apabila menonton video yang memaparkan Hajah Shamsiah Selamat, seorang pemimpin akar umbi dari Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Tinggi, yang tidak kenal erti penat lelah, yang sanggup bermandi hujan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat kepada parti kita. Inilah perjuangan Jalinan Rakyat dan inilah contoh pejuang sejati UMNO. Inilah lambang daya tahan dan daya juang UMNO.
59. Saya juga amat menghargai sumbangan Wanita UMNO bersama Dewan Muslimat PAS. Skuad Sayang UMNO bersama Skuad Prihatin Muslimat PAS. Skuad Sabil bersama Jabatan Amal PAS. Puteri UMNO bersama Ameerah PAS, jentera MCA, MIC dan semua pihak yang terlibat berganding tenaga di setiap pelosok dan ceruk Tanjung Piai untuk memenangkan calon BN. Gandingan sebeginilah yang perlu dikekalkan sehingga PRU15.
60. Perjuangan ini umpama berada di lautan yang luas. Kita adalah bahtera yang belayar dengan hanya seorang nakhoda, dibantu oleh juragan-juragan dan anak-anak kapal. Andai muatan kita adalah iman, maka layarnya adalah takwa. Apabila kompasnya keikhlasan, nescaya kita akan selamat dalam pelayaran ini.
Ingatlah,
Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, belajarlah untuk menyukai apa yang kita dapat.
Sehaluan tetapi tidak sejalan adalah lebih baik dari sejalan tetapi tidak sehaluan.
Hindarilah diri dari menjadi manusia yang suka perpuak-puak dan berpecah-belah.
Menjadi orang yang kalah tetapi adil adalah lebih baik daripada menjadi orang yang menang tapi zalim.
Insya-Allah UMNO akan hidup seperti pohon kayu yang lebat buahnya, walau dibaling dengan batu namun tetap dibalas dengan buah.
61. Dengan segala usaha yang kita lakukan, kepada Allah kita berserah.
HIDUP UMNO!!!
HIDUP UMNO!!!
HIDUP UMNO!!!
MUAFAKAAAT…. NASIONAL!!!
MUAFAKAAAT…. NASIONAL!!!
MUAFAKAAAT…. NASIONAL!!!
TAKBIR!!!
Wabillahi taufik walhidayah wasalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.