Jamelah Umum Tidak Bertanding Jawatan Exco Wanita UMNO
KUALA LUMPUR, 10 Jun — Exco Wanita UMNO Datuk Jamelah Abu Bakar mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti itu kali ini.
Serentak dengan itu, beliau juga mengambil keputusan untuk meletakkan semua jawatan dalam UMNO yang dipegangnya iaitu Pengerusi Biro Media dan Penerbitan Wanita UMNO, Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Wanita UMNO Pulau Pinang dan Anggota Jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara.
“Saya berbuat demikian demi memberi peluang kepada wanita-wanita muda selain ingin menumpukan kepada tugas-tugas organisasi bukan kerajaan (NGO) yang saya terajui termasuklah sebagai Pengerusi Biro Wanita dan Pembangunan Keluarga Pemadam Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memegang jawatan Exco Wanita sejak 2008 setelah menang dalam pemilihan pada 2008 dan 2013.
Jamelah, bekas wartawan dan seorang tokoh korporat serta aktif dalam NGO, merupakan satu-satunya Exco wanita yang menang dalam pemilihan tanpa menjadi ketua wanita bahagian.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Wanita UMNO, rakan-rakan Exco dan wanita UMNO keseluruhannya yang memberi kerjasama sepanjang menjadi Exco Wanita UMNO selama 10 tahun.