Bursa Malaysia Dibuka Semakin Rendah

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas pembelian saham berharga rendah yang sederhana semalam serta prestasi lemah semalaman di Wall Street, kata para peniaga.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.92 mata kepada 1,588.52 daripada 1,589.44 pada paras penutup Selasa.

Indeks itu dibuka 0.59 mata lebih rendah kepada 1,588.85. Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 164 berbanding 66, manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,553 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 177.28 juta saham bernilai RM54.19 juta.

Wall Street ditutup rendah selepas aktiviti pembuatan Amerika Syarikat (AS) mencecah paras terendahnya dalam tempoh lebih 10 tahun, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur kesan daripada perang perdagangan AS-China mula menular ke dalam ekonomi AS.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata keseluruhan keadaan pasaran dijangka kekal berbeza daripada Selasa kerana ketiadaan minat belian seterusnya.

“Bagaimanapun, kami merasakan sebarang jualan juga akan terhad kerana akhir-akhir ini pasaran telahpun mengecil dan jualan mungkin tidak begitu banyak buat masa ini.

“Oleh itu, kami merasakan perlu ada sokongan sekitar paras 1,582 dan 1,585 tetapi sekiranya jualan lebih ketara, paras 1,580 adalah efektif. Sementara itu paras ketahanan berada pada 1,590-1,600 mata,” kata firma pembrokeran itu.

Firma itu berkata saham berharga rendah dan keseluruhan saham pasaran dijangka menyusut kerana minat belian susulan yang berkurangan, disebabkan sebahagiannya sentimen pasaran yang masih berhati-hati. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit