Speaker DUN Selangor Guna Jalan Belakang, ADUN Islam Perlu Bersatu


KUALA LUMPUR 9 Ogos – Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dituduh telah menggunakan jalan belakang untuk menghalang pembentangan rang undang-undang pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ini berdasarkan tindakannya memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari.

Katanya, ini jelas menunjukkan Suee Lim menggunakan jalan belakang untuk memastikan usul itu tidak dibentang.

“Sehubungan itu saya meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang beragama Islam supaya bersatu memastikan perkara yang berkaitan dengan Islam tidak diperkotak-katikkan.

“Usul pindaan ini telah dipersetujui oleh Tuanku Sultan Selangor, Suee Lim tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk menghalang usul ini daripada dibentangkan,” katanya.

Usul pembentangan pindaan RUU penukaran agama kanak-kanak di bawah umur pada sidang DUN bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila Suee Lim menyingkatkan tempoh sesi persidangan itu kepada dua hari.

Suee Lim berpendapat keputusannya adalah selaras Aturan Mesyuarat, secara tidak langsung menafikan spekulasi bahawa tindakan itu sengaja dilakukan bagi mengelakkan pembentangan pindaan

Melalui pindaan itu, Selangor mencadangkan untuk membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak oleh salah seorang daripada ibu atau bapa mereka. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit