UMNO-PAS Sokong MB Selangor Dikekalkan, Elak Langkah Kajang Berulang

 

SHAH ALAM, 8 Ogos – UMNO dan PAS Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh bagi mengekalkan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor sehingga habis penggal.

Jelas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, sokongan ini adalah bagi mengelakkan peristiwa ‘langkah Kajang’ berulang lagi.

“Disebabkan ada desas-desus cubaan menukar Menteri Besar akibat daripada perbalahan dalaman Pakatan Harapan (PH), maka PAS dan UMNO akan menyatakan sokongan untuk mengekalkan Menteri Besar.

“Kita lihat kekecohan antara parti dalam PH di peringkat pusat sudah menyerap ke Selangor. Kita harap tidak berlaku pertukaran kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat… ia akan merugikan duit rakyat,” ujar beliau pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Perpaduan Ummah yang dihadiri pimpinan PAS dan UMNO Selangor hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial akan berlaku desakan pertukaran Menteri Besar Selangor kerana pestasi yang kurang memuaskan.

Antara yang dikatakan menjadi punca adalah tindakan Amirudin yang mengeluarkan kenyataan berkaitan video seks songsang yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit