Isu Tulisan Jawi: Pelampau Cauvinis Berhenti Main Api!


KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Tindakan 138 ahli akar umbi termasuk 13 Adun Dap, Kumpulan pendesak Cina, Dong Zong, Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dan 10 NGO untuk mengadakan himpunan pada Isnin ini bagi membantah penambahan seni khat jawi dalam subjek Bahasa Melayu adalah suatu tindakan cauvinis yang melampau, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka, Fairul Nizam Roslan.

Katanya, ini ditambah pula kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang mengatakan ‘pembelajaran jawi ini ibarat menyapu tahi lembu ke muka’ ibarat menjolok sarang tebuan dan mencurah minyak kedalam api bagi membakar sentimen perkauman, serta mencabar-cabar kesabaran masyarakat terutama bangsa Melayu yang selama ini hanya berdiam memendam rasa.

“Pergerakan Pemuda UMNO Melaka memberi amaran dan menyeru kepada kumpulan ini supaya menghentikan himpunan tersebut agar tidak akan berlaku sebarang kemungkinan kerana tidak mustahil rakyat terutama orang Melayu juga akan bangkit melakukan perkara sama untuk mempertahankan tulisan jawi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum serta menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seharusnya kumpulan ini harus menghormati budaya dan adat resam kepelbagaian bangsa yang merupakan sebahagian sejarah dan perlembagaan negara ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Melaka Sekali lagi ingin mengulangi amaran agar kumpulan tersebut menghentikan himpunan tersebut serta menghormati kepelbagaian bangsa dan warisan agar keharmonian, aman damai terus subur di negara ini.”

Ujarnya, saling hormat menghormati budaya, agama dan adat resam adalah menjadi amalan di dalam negara kita, jangan disebabkan tindakan segelintir pelampau cauvinis akan menjadikan ketidak tenteraman khalayak dan masyarakat dunia terhadap negara kita Malaysia.

“Pergerakan Pemuda UMNO Melaka juga hairan dan gusar setelah hampir 62 tahun negara kita Merdeka, masih ada watak pelampau cauvinis yang langsung tidak menghormati budaya dan sejarah (tanah air) dan seharusnya sistem pendidikan sekarang yang mengasingkan mengikut kaum dan kasta perlu dihapuskan.

“Mana mungkin mereka boleh bergaul jika dari kecil telah diasingkan,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit