“UMNO Bukannya Suatu Produk Yang Kita Balut, Lipat Dan Dijual…” – Tok Mat

BENTONG, 28 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata semua pihak harus mempertahankan dan memperkukuhkan semula UMNO.

Katanya, UMNO ditubuhkan untuk mempertahankan maruah dan martabat bangsa, agama dan tanah air yang juga merupakan suatu perjuangan orang-orang Melayu.

“UMNO bukannya ditubuhkan di tepi jalan dan juga bukan ditubuhkan hendak mengeluarkan Ketua atau Presiden dari penjara. UMNO ditubuhkan bukannya sebagai parti yang hendak jatuhkan Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN) dan juga bukannya ditubuhkan atas kekecewaan.

“UMNO bukannya suatu produk yang kita balut, lipat dan dijual supaya orang tahu nama UMNO. UMNO sudah lama ada dan yang penting kita harus memperkasakan parti dan resepinya janganlah kita bertelagah sesama sendiri,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Beliau juga cukup optimis UMNO pasti akan kuat sepertimana ketika mula-mula ditubuhkan dahulu jika tiada persengketaan, perselisihan faham dan perbalahan sesama sendiri.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat menyeru semua pendukung parti bangkit bagi memastikan mampu memenangi kembali pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Justeru kalau hendak bangkit dan menang Pilihan Raya Umum ke-15, hendak dapat balik kuasa tugas utama adalah memperkasakan parti. Insya Allah… dengan gerakan dan semangat rakyat telah buka mata dan ramai yang sedar bahawa UMNO perlu bangun dan bangkit bersama-sama semula.

“Rahsia orang Pahang menang PRU adalah orang Pahang rasa satu hati dan tidak berbalah-balah sesama sendiri, kekalkan diri, suburkan lagi perkasakan parti dan terus kuat.

“Ini silap kita dulu tidak memperkasakan parti, kita (lebih) memperkasakan kerajaan, kerajaan terlampau kuat akhirnya parti terkial-kial ke belakang,” katanya.

Tambahnya lagi, ini jelas apabila dahulu semua tugas parti dibuat oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

“Sehingga UMNO kalah PRU lalu, UMNO tidak mempunyai apa-apa sebagai parti kerana UMNO sudah terlalu lama menjadi kerajaan.

“Semua ini dibuat oleh kerajaan, parti cuma sebagai yang menurut di belakang dan jauh ketinggalan,” ujarnya lagi.

Perkara tersebut juga merupakan suatu keadaan yang boleh melemahkan UMNO.

“…dan harap dapat belajar selepas ini kerana di negara lain kerajaan diketuai oleh parti sebagai contoh… Singapura ia disebut kerajaan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Jepun Kerajaan Parti Demokratik Liberal (LDP) dan Amerika dipanggil kerajaan Republikan atau Demokrat kerana parti kuat dan mendokong kerajaan.

“Kerajaan bersama-sama dengan parti mentadbir negara atau negeri,” katanya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.