Kalau Betul Tulen, Ambil Tindakan

HULU TERENGGANU 19 Julai – Seluruh rakyat Malaysia kini ternanti-nanti apa tindakan seterusnya yang akan diambil pihak berkuasa susulan pengesahan video intim membabitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya perkara itu menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat kerana masing-masing mahu mengetahui apa tindakan selanjutnya yang akan diambil pihak berkuasa dan bukan semata-mata pengesahan mengenai ketulenan video berkenaan.

“Kalau sudah dikatakan tulen, maka benarlah ia memang tulen, tetapi jangan kata tulen sahaja, apa tindakan selanjutnya?

“Itu persoalan yang akan ditanya dan kalau betul tulen, ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Toh Puan Zaitun Mat Amin di samping wakil Pas, Maliaman Kassim.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, analisis pakar ke atas video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri tidak dapat mengaitkan pelaku dengan ahli politik berkenaan.

Kata Abdul Hamid, proses pengecaman wajah ke atas video lucah itu yang dibuat oleh CyberSecurity Malaysia adalah negatif, walaupun kebarangkalian ketulenan video lucah terbabit adalah tinggi. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.