Guan Eng Penipu, 10 Kesan Kepada Ekonomi Negara


KUALA LUMPUR, 17 Julai – Sandiwara Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai ‘rompakan’ dan ‘kehilangan’ wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion tidak boleh dipandang enteng, tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, perkara tersebut bukanlah kali pertama Setiausaha Agung Dap itu menipu rakyat.

“Bermula dengan penipuan beliau mengenai status hutang negara yang kononnya mencecah RM1 trilion, sudah cukup memudaratkan ekonomi negara,” ujar Dr Asyraf dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah Dr Asyraf, sekurang-kurangnya terdapat sepuluh kesan terhadap ekonomi negara akibat penipuan demi penipuan yang dipraktikkan oleh Guan Eng, seperti berikut:

1) Dakwaan wang GST dirompak menjejaskan keyakinan pelabur berkenaan tadbir urus kewangan negara hingga mengakibatkan pelabur lari dan mencatatkan aliran keluar dana asing mencecah RM38 billion!

2) Pengeluaran dana asing yang berterusan keluar daripada Malaysia juga telah menjejaskan Bursa Malaysia sehingga kehilangan 200 mata atau bersamaan dengan kemerosotan nilai sehingga RM270 billion!

3) Kejatuhan teruk nilai Bursa Saham Malaysia menyebabkan syarikat-syarikat perlaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencatatkan kerugian besar nilai perlaburan seperti Khazanah Nasional Berhad (rugi RM21 billion) dan Tabung Haji (rugi RM10 billion)!

4) Aliran keluar dana asing telah menyebabkan Ringgit Malaysia menyusut berbanding Dollar Amerika (USD) iaitu purata RM4.10 bagi setiap 1 dollar Amerika berbanding di RM3.80 pada awal tahun 2018 ketika Barisan Nasional (BN) memerintah!

5) Aliran keluar dana asing juga telah merendahkan pegangan bon-bon Kerajaan Malaysia menyebabkan Malaysia berada di dalam risiko akan diturunkan penarafan dari 2 kepada 1 World Government Bond Index oleh FTSE Russel yang berpengkalan di London. Sekiranya berlaku, Malaysia bakal menyaksikan aliran keluar lebih USD8 billion atau RM32 billion pula dari pasaran bon Malaysia!

6) Menggunakan alasan wang bayaran balik GST dirompak untuk menghalalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjarah hampir RM82 billion dana Petronas telah menyebabkan Moody’s merendahkan rating atau penarafan Petronas dari A1 kepada A2 pada 20 Jun 2019. Lebih menyedihkan daripada RM82 bilion yang kononnya untuk melunaskan RM19.4 bilion wang GST, hanya RM1.5 bilion sahaja yang layak dibayar (sebagaimana laporan The Edge)!

7) Penjarahan dana Petronas akibat kekurangan sumber pendapatan sejak pemansuhan GST telah menyaksikan Lim Guan Eng bertanggungjawab meningkatkan Hutang Langsung Kerajaan dari RM686.8 billion pada 31 Disember 2017 kepada terbaru RM804 billion baru-baru ini!

8.) Hilangnya keyakinan pelabur asing dengan pengeluaran besar-besaran dana yang menyebabkan kerugian syarikat-syarikat milik kerajaan dan kekurangan sumber pendapatan telah menyaksikan Kerajaan PH melaksanakan siri penjualan aset-aset bernilai kerajaan seperti saham IHH Healthcare Berhad kepada Mitsui & Co dengan harga RM8.42 billion, saham M1 milik Axiata kepada Singapura dengan harga RM1.65 billion dan banyak lagi!

9) Pelupusan atau penjualan aset-aset pelaburan oleh Khazanah dan syarikat-syarikat milik kerajaan lain juga memberi kesan langsung terhadap pemberhentian ribuan pekerja-pekerja yang berada di bawah syarikat-syarikat ini. Terbaru, UEM Group Berhad yang dimiliki Khazanah Nasional dilaporkan akan memberhentikan lebih 200 pekerja atas alasan untuk mengurangkan kos lantaran mengalami kerugian. 33,402 orang pekerja swasta setakat ini telah dilaporkan diberhentikan kerja!

10) Lebih menyedihkan, mengikut Laporan Bank Negara sehingga Mei 2019 pengangguran terus meningkat kepada 520,000 orang. Malah bagi tahun pertama pentadbiran PH (Mei 2018 – Mei 2019), statistik Laporan Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan hanya 269.9 ribu pekerjaan baharu dicipta berbanding tempoh yang sama setahun sebelumnya di bawah BN iaitu sejumlah 398.2 ribu (Mei 2017 – Mei 2018)!

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO Malaysia dengan tegas menggesa dan mendesak supaya Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan kerana menjadi punca utama kemudaratan besar terhadap ekonomi negara sekaligus menyebakan kesusahan kepada rakyat. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.