Semangat Ahli Makin Meningkat Dan Kuat, Tekanan Tak Lemahkan UMNO


KUALA LUMPUR, 14 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya keyakinan ahli terhadap parti semakin meningkat malah tekanan kepada parti itu tidak akan melemahkan semangat dan perjuangan mereka.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, ahli UMNO cukup bersemangat dan persidangan UMNO bahagian serta peringkat cawangan menjadi bukti bagaimana mereka di akar umbi memainkan peranan masing-masing.

“Semua tidak berganjak dan tetap setia pada perjuangan. Walaupun akaun dibekukan dan berbagai lagi tekanan kepada parti, mereka tetap bersemangat.

“Hari ini Lembah Pantai menjadi bukti   bahawa kita tidak lemah semangat tetapi lebih kuat untuk bersama parti. Begitu juga ‘trend’ di seluruh negara tidak ada yang lemah semangat. Saya pergi ke Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, dan beberapa negeri lain semangat nampak tidak goyang. Keyakinan ahli terhadap masa depan UMNO semakin kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO bahagian Lembah Pantai, di sini, hari ini. Turut bersama Ketua UMNO bahagian, Datuk Ramlan Askolani serta pimpinan UMNO yang lain. Rakan taawun daripada PAS Lembah Pantai turut hadir.

Tambah Ismail lagi, kerajaan hari ini yang dibina atas asas penipuan dan fitnah mula tidak disukai rakyat.

“Berbanding kita yang mempunyai perjuangan yang jelas memartabatkan bangsa Melayu dan Islam serta negara kita. Asas dan objektif perjuangan kita jelas daripada mula ditubuhkan hingga ke hari ini masih ‘clear’.

“Bukan macam parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan dengan pelbagai objektif perjuangan. Perjuangan kita jelas dan macam mana pun keadaan ianya  tetap tidak berubah. Keyakinan ahli kita makin kuat. Apa jadi pun asas itu masih ada dalam diri kita,” tambahnya.

Sementara itu Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani turut melihat perkara yang sama malah bukan sahaja sokongan ahli parti tidak berganjak, sambutan masyarakat setempat juga memperlihatkan senario yang sama.

Katanya hakikat berkenaan dapat dilihat menerusi pelbagai program yang dianjurkan di sekitar Lembah Pantai apabila masyarakat setempat tanpa segan silu hadir memeriahkan suasana dan sebagainya.

“Kadang-kadang kita buat program di bahagian ingatkan tak dapat sambutan… namun nampaknya makin banyak yang datang. Kita merasa amat bangga dan kita kena teruskan perjuangan ini. Kalau UMNO tidak perjuangkan tidak tahu macam mana keadaan dan masa depan nanti.

“Setahun lebih mereka ambil alih tapi apa yang mereka lakukan. Tabung Haji seolah-olah pimpinan lalu terlalu korupsi sedangkan sebelum ini Tabung Haji tidak pernah tidak bayar dividen,” ujarnya.

Ujarnya lagi semua ahli di kawasan Lembah Pantai perlu siap sedia dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun nampak masih jauh, tiga tahun setengah bukanlah satu tempoh masa yang lama. Kita perkasakan parti dan sama-sama jayakan penyatuan ummah, insya-Allah,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit