UMNO Tidak Akan Bekerjasama Dengan Parti, Tokoh Yang Bersekongkol Dengan Dap


MELAKA, 13 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selagi beliau bekerjasama dengan Dap.

Jelas beliau, bukan sahaja Anwar malah UMNO tidak akan bersekongkol dengan mana-mana parti atau pemimpin yang menjalinkan kerjasama bersama Dap.

“Mana-mana parti atau tokoh politik yang terus bersekongkol dengan Dap, kita akan tolak. Mana mungkin kita terima mereka yang berkompromi dalam soal agama Islam.. mana mungkin kita berkompromi dengan syiah.

“Kita tidak mahu bermusuh dengan negara yang amalkan syiah tapi tolong hormat negara ini,” ujar beliau ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Tangga Batu di sini hari ini.

Zahid turut membidas Dap yang mempunyai niat jahat terhadap Melayu dan Islam.

“Dalam ceramah terbaru ‘Superman’ Dap, dia mendedahkan rancangan untuk melihat UMNO dan PAS musnah dalam tempoh dua tahun.

“Untuk mencapai maksud itu, Dap perlu menyokong usaha Tun Dr Mahathir untuk melihat UMNO diharamkan dan musnah.

“Sebagai Presiden UMNO saya akan pastikan UMNO tidak akan sama sekali mengkhianati PAS,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit